Polis akan memanggil penganjur upacara perkahwinan di Kuil Nava Sakthi Durgai Amman Paandi, Seri Kembangan yang dilaporkan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti individu-individu itu selain beberapa saksi lain yang diyakini boleh membantu siasatan kes terbabit.

Beliau memberitahu, dalam tempoh 24 jam video memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di kuil itu tular di media sosial, polis telah merekodkan keterangan daripada pengurusan kuil dan juga saksi-saksi awam.

"Berdasarkan rakaman percakapan, pihak pengurusan mengakui satu majlis perkahwinan berlangsung di kuil tersebut pada pada Ahad lalu kira-kira pukul 10 pagi yang dihadiri 20 hingga 30 orang," katanya di sini, pada Isnin.

Ismadi menjelaskan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memecahkan keamanan dan mendatangkan kegusaran awam.

Dalam pada itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), Datuk R.S. Mohan Shan ketika dihubungi Astro AWANI menyatakan kekesalan dengan tindakan pihak penganjur itu yang ingkar PKPB.

Beliau memberitahu, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran upacara perkahwinan tersebut terlebih dahulu.

"Kalau mereka ada memaklumkan kepada kita, MHS sudah tentu tidak akan mengizinkannya," katanya.

Menjelaskannya, MHS juga telah mendapatkan senarai penuh mereka yang hadir pada majlis perkahwinan yang berlangsung pada Ahad lalu untuk diserahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara.

Ekoran itu beliau menasihati semua pengerusi kuil di seluruh negara supaya mematuhi PKPB dan arahan kerajaan dalam mengekang penularan COVID-19.

Katanya, hanya 84 kuil di zon hijau sahaja yang dibenarkan dibuka dua hari seminggu untuk upacara keagamaan selepas 10 Jun ini dan senarai itu akan dikeluarkan dalam tempoh tersebut.

Pun begitu katanya, ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BACA: Penganjur majlis perkahwinan di kuil langgar keputusan kerajaan - Ismail Sabri

Terdahulu, dalam sidang akhbar pada Isnin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, aktiviti keagamaan di rumah beribadat bukan Islam hanya dibenarkan selepas 10 Jun ini dengan SOP ketat.

Beliau menjelaskan sebarang upacara perkahwinan atau kematian di kuil tidak dibenarkan pada waktu ini.