TIBANYA penghujung Ramadan, terutama 10 malam terakhir, ramai umat Islam di seluruh dunia meningkatkan amalan, berdoa sesungguhnya agar bertemu malam lailatuqadar.

Mana tidaknya, berdasarkan nas-nas terdahulu, ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ia lebih baik daripada 1,000 bulan.

Begitu besarnya fadilat dan hikmah malam lailatuqadar yang tentunya setiap umat Islam pasti menanam impian untuk sekurang-kurangnya sekali bertemu malam istimewa itu.

Dari segi bahasanya, Lailah memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.

Al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Firman Allah dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Ayat itu membuktikan betapa istimewanya malam tersebut, malam kemuliaan, malam yang ditafsirkan sebagai lebih baik daripada 1,000 bulan.

“Adalah Nabi apabila memasuki 10 hari terakhir (bulan Ramadan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).” - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi tulisan dalam Bayan Linnas berkata, sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan.

Menurutnya, malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik.

“Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmatNya serta mengharap pahalaNya,” tulis beliau.

Ulama juga sependapat, antara kelebihan malam lailatuqadar mempunyai kebaikan lebih daripada 1,000 bulan.

Malam itu juga turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.

Ulama juga berpendapat, umat Islam mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar pada malam berkenaan.

Ia juga merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.

Sehingga kini, tidak diketahui bilakah malam Lailatul Qadar sebenar, namun, Rasullulah SAW bersabda, lailatuqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan.

“Carilah lailatuqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

Menurut Imam Al-Ghazali dan ulama lain pula, cara untuk mengetahui lailatuqadar boleh dilihat dari hari pertama bulan Ramadan.
Banyak hikmah malam 1,000 bulan itu maka isikanlah dengan qiamullail, bacaan al-Quran, zikrullah, munajat dan doa keampunan dan kerahmatan daripada-Nya.

Semoga kita semua meraih malam istimewa lailatuqadar.

Aamin...