Majlis Penasihat Kerajaan telah memberi jaminan bahawa Malaysia akan memenuhi tanggungjawab hutangnya di bawah kerajaan baharu dan menekankan bahawa perubahan politik semasa di negara ini berlaku pada "masa yang sangat positif".

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, yang merupakan sebahagian daripada pasukan lima anggota itu berkata, negara ini mengalami tempoh pelarasan tetapi ia juga disokong oleh persekitaran ekonomi yang menggalakkan seperti harga minyak dunia yang lebih tinggi.

"Minyak kini diniagakan melepasi US$70 setong dan dengan itu terdapat sedikit kelegaan. Kita perlu mengambil kesempatan ini untuk melaksanakan dasar-dasar tertentu supaya kita akan mempunyai pelarasan yang teratur.

"Ini juga mengambil kira keupayaan institusi seperti Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan," kata bekas Gabenor Bank Negara tersebut kepada Bernama selepas menghadiri sesi taklimat dengan tiga agensi penarafan antarabangsa pada Isnin.

Antara isu yang dibincangkan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta subsidi dan bagaimana Malaysia boleh memenuhi keperluan pendapatannya berikutan penghapusan cukai ini.

Zeti berkata, dasar-dasar baharu terbabit adalah penting seperti meningkatkan pendapatan boleh dibelanja golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Kita perlu menyokong pertumbuhan keseluruhan ekonomi. Oleh itu, pentingnya memahami apa matlamat yang akan dicapai dengan dasar seperti ini yang akan menjana peningkatan dalam pendapatan (kerajaan)," jelasnya.

Wanita pertama menjadi gabenor bank pusat tersebut berkata, Majlis Penasihat Kerajaan akan melihat keseluruhan pengurusan kedudukan fiskal, termasuk proses tadbir urus, bagaimana keputusan dibuat serta tahap ketelusan dan pendedahan.

Selain Zeti, anggota lain majlis berkenaan ialah bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, ahli ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram dan taikun, Tan Sri Robert Kuok. -- Bernama