KUALA LUMPUR: Malaysia, Arab Saudi dan Kazakhstan bersetuju dan bertekad untuk memperkukuh kerjasama strategik berkaitan infrastruktur dan keselamatan jalan raya untuk kebaikan bersama.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu dibincangkan dengan Timbalan Menteri Pengangkutan bagi Hal Ehwal Jalan Raya Arab Saudi, Badr Bin Abdullah Al-Dulami dan Menteri Pengangkutan Kazakhstan Marat Karabayev semasa kunjungan hormat kedua-dua pemimpin itu terhadap beliau sempena Kongres Jalan Sedunia 2023.

Kongres itu anjuran Persatuan Tetap Kongres Jalan Antarabangsa (PIARC) berlangsung di Prague, Republik Czech bermula 2 Okt sehingga 6 Okt.

Nanta berkata semasa pertemuannya dengan delegasi Arab Saudi, kedua-dua pihak berkongsi pandangan mengenai pelbagai perkara serta bertekad memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan di kedua-dua negara.

"Saya percaya, ada banyak yang boleh Malaysia pelajari daripada Arab Saudi dalam hal ini dan begitu juga sebaliknya. Justeru, kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berhubung lanjut bagi meneroka ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan demi kebaikan bersama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata delegasi Arab Saudi juga menyatakan minat mempelajari inisiatif keselamatan jalan raya Malaysia terutamanya melalui kempen MYJalan yang sedang giat dilaksanakan di seluruh negara dan kedua-dua negara bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung usaha itu dalam masa terdekat.

Nanta berkata dalam pertemuan itu, beliau turut mengambil kesempatan untuk menyatakan sokongan kerajaan Malaysia terhadap usaha kerajaan Arab Saudi untuk membida sebagai penganjur Ekspo Dunia 2030.

Sementara itu Nanta berkata delegasi Kazakhstan yang diketuai oleh Marat menyatakan hasrat dan minat negara itu untuk membawa masuk kepakaran Malaysia dalam membina, membangun dan menguruskan infrastruktur pelabuhan di republik itu.

"Saya amat mengalu-alukan cadangan ini yang sekali gus membuktikan kepakaran Malaysia dalam bidang pembinaan infrastruktur turut menarik perhatian luar. Saya amat berharap kerjasama ini dapat direalisasikan yang akan membuka peluang pelaburan kepada kedua-dua negara.

"Saya akan membawa cadangan ini untuk dibincangkan di peringkat kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dipertimbangkan di peringkat Kabinet," katanya.

-- BERNAMA