MALAYSIA
Malaysia, Australia perkukuh perkongsian strategik sempena 70 tahun hubungan diplomatik

Malaysia dan Australia menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik tahun ini, menandakan satu pencapaian penting dalam perkongsian yang berkekalan dengan hubungan strategik yang mendalam dan kepentingan serantau.
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia menyambut ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik tahun ini, menandakan satu pencapaian penting dalam perkongsian yang berkekalan dengan hubungan strategik yang mendalam dan kepentingan serantau.
Sejak beberapa dekad, hubungan itu telah berkembang menjadi perkongsian komprehensif yang merangkumi pelbagai sektor dengan komitmen bersama dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik.
Teras kepada perkongsian itu ialah kerjasama pertahanan yang kukuh, dizahirkan melalui Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia, yang terus menjadi tonggak hubungan dua hala.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Tharishini Krishnan berkata, angkatan tentera Australia memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan pertahanan dan keselamatan Malaysia pada tahun-tahun awal penubuhannya, terutamanya melalui penglibatan pertahanan yang berterusan semasa tempoh kritikal seperti Darurat Tanah Melayu dan Konfrontasi."Operasi-operasi ini membentuk asas kerjasama pertahanan yang berkekalan di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) selepas 1971," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) Malaysia-Australia, yang dimeterai pada 2021, meningkatkan penyelarasan dalam keselamatan maritim, memerangi keganasan, serta bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), melengkapi eksesais FPDA seperti Bersama Shield dan Bersama Gold.
"Ia menyediakan rangka kerja untuk memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala pada masa depan, termasuk usaha memastikan kebebasan pelayaran di Laut China Selatan dan kesiapsiagaan bersama menghadapi krisis serantau," katanya.
Dalam aspek keselamatan serantau, Tharishini berkata, kedua-dua negara dilihat sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai melalui eksesais bersama FPDA, inisiatif kesedaran domain maritim dan rondaan antipelanunan, terutamanya di Selat Melaka.
Beliau berkata, eksesais ketenteraan bersama seperti Eksesais Suman Warrior dan Bersama Lima terus menunjukkan kebolehkendalian operasi dan keupayaan untuk tindak balas bersama terhadap ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Mengenai penjajaran strategik, beliau berkata, Malaysia dan Australia berkongsi visi Indo-Pasifik yang selari, yang menekankan pemusatan ASEAN, kebebasan pelayaran dan orde serantau yang stabil dan berasaskan peraturan.
"Penjajaran ini semakin jelas kelihatan dalam pemodenan FPDA secara bersama, kerjasama yang dipacu oleh CSP dan inisiatif keselamatan maritim.
"Ketika persaingan kuasa besar semakin sengit, penumpuan strategik ini akan menjadi semakin penting dalam melindungi keselamatan serantau tanpa mencetuskan ketegangan yang tidak perlu," katanya.
Sementara itu, Pengarah Institut Pengajian ASEAN dan Pengantarabangsaan (IINTAS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Phar Kim Beng berkata, FPDA kekal relevan kerana sifatnya yang fleksibel, membolehkan negara anggota seperti New Zealand mengambil langkah yang lebih praktikal ketika negara lain tidak bertindak.
"Apabila Malaysia membalas penglibatan sedemikian dengan New Zealand, ia memberi isyarat kesediaannya untuk melakukan perkara yang sama dengan United Kingdom, Australia dan seterusnya Singapura," katanya.
Beliau menambah, FPDA berfungsi sebagai mekanisme peningkatan kolektif secara tidak langsung dalam dunia yang semakin didominasi oleh ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional.
Mengulas mengenai kerjasama ekonomi masa depan antara Malaysia dan Australia, Phar menekankan kepentingan memanfaatkan rangka kerja pelbagai hala.
Beliau menyatakan kedua-dua negara adalah anggota APEC (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
"Platform-platform ini boleh berfungsi sebagai saluran utama untuk meningkatkan hubungan ekonomi dua hala pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada Bernama.
Dalam aspek hubungan antara rakyat, Phar menekankan keperluan bagi kedua-dua kerajaan untuk proaktif dalam melibatkan rangkaian alumni dan mengukuhkan hubungan pendidikan.
Beliau berkata, kedua-dua kerajaan melalui Kementerian Luar atau kedutaan masing-masing, perlu menggalakkan bentuk penglibatan strategik yang lebih tinggi dan bermatlamat.
Phar mencadangkan Australia boleh membantu rancangan 10 tahun Malaysia untuk memperoleh tenaga nuklear sivil, walaupun Australia sendiri bukan kuasa nuklear, dengan memanfaatkan rangkaian hubungannya.
Hubungan Malaysia dan Australia bermula sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, dengan Australia menubuhkan sebuah Suruhanjaya di Kuala Lumpur pada 1955 dan Tanah Melayu ketika itu membuka suruhanjaya di Canberra pada 1956.
Pencapaian ulang tahun ke-70 ini juga bertepatan dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Australia menjalinkan hubungan rasmi dengan ASEAN pada 1974, menjadi rakan dialog pertama blok itu. Pada 2021, kedua-dua pihak meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami