SHAH ALAM:Sektor perubatan negara terus ke hadapan apabila penggunaan cetakan implan tiga dimensi (3D) titanium diguna pakai dalam pembedahan hari ini.

Melalui teknologi itu, bahagian tubuh badan yang mengalami kecederaan boleh digantikan dan direka khusus dengan cetakan implan 3D.

Lebih membanggakan, cetakan itu merupakan hasil inovasi dan kepakaran syarikat tempatan, iaitu Syarikat 3D Gens Sdn Bhd (3D Gens).

3D Gens adalah syarikat di bawah ekosistem Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Kemajuan teknologi implan itu telah menarik perhatian Avisena Specialist Hospital (Avisena) untuk menjadi pusat perubatan pertama di negara ini untuk digunakan ke atas pesakitnya.

Menurut Pakar Bedah Oral dan Maksilofasial Avisena, Dr Firdaus Hanapiah, pesakit pertama di pusat perubatan itu yang menggunakan teknologi implan 3D itu membabitkan penggantian rahang yang mengalami pembengkakan akibat ketumbuhan ameloblastoma.

"Ketumbuhan ini berkembang pada bahagian rahang berhampiran pada gigi molar dan bermula dalam sel membentuk enamel pada gigi kemudian menyebabkan kesakitan dan jangkitan pada bahagian gusi.

“Implan khusus yang digunakan ini diperbuat daripada titanium menggunakan cetakan 3D dan direka khas mengikut bentuk gigi, muka dan rahang pesakit serta inovasi seumpama yang pertama dihasilkan di Asia Tenggara.

“Kalau dahulu pembedahan seperti ini atau alternatif lain banyak dilakukan di luar negara seperti Belgium, Belanda dan negara-negara Eropah lain, tetapi kali ini kita buat sesuatu yang lain daripada lain, iaitu kita buat cetakan 3D yang mana suatu rahang yang baharu khas buat pesakit,” katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Dr. Firdaus (tengah) bersama-sama rakan seperjuangan ketika proses pembedahan penggantian rahang dilakukan. - Gambar Avisena Specialist Hospital

Model cetakan implan 3D titanium yang digunakan kepada pesakit yang mengalami masalah pembengkakan rahang. - Gambar Avisena Specialist Hospital

Dr Firdaus menambah, secara tradisinya, tulang daripada kaki (fibular graft) akan distruktur untuk menyerupai rahang tetapi operasi tersebut agak rumit kerana perlu mengambil salur darah daripada bahagian kaki dan menyambungkan salur darah tersebut pada bahagian muka.

Pesakit juga perlu menjalani rawatan di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) antara dua dan tiga hari di bawah pemantauan doktor kerana dikhuatiri saluran darah tersumbat dan berkemungkinan untuk menjalani semula pembedahan untuk membetulkan semula saluran tersebut. 

“Pembedahan rahang menggunakan titanium ini menjadikan tempoh pembedahan lebih pendek, iaitu selama 6 hingga 8 jam berbanding 14 hingga 16 jam selain perancangan awal dapat dilakukan.

"Sebelum ini kebanyakan pembedahan dibuat dengan kerjasama syarikat luar negara, tetapi hari ini kita mampu melakukannya sendiri," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau komited untuk menjadikan Malaysia sebagai hub percetakan pembedahan 3D sekali gus menjadi pengeksport teknologi itu ke luar negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina.

Sementara itu, Pengasas 3D Gens, Dr Izhar Aziz berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerjasama utuh pihaknya dengan Avisena selain menjadi penanda aras baharu dalam sektor teknologi perubatan Malaysia.

"Pembuatan implan khusus ini atau Patient Specific Implant (PSI) tidak dapat dilakukan tanpa adanya data daripada pakar bedah dan penglibatan mereka penting untuk menasihati atau memberikan cadangan mengenai fungsi dan cara implan itu dipasang kepada pesakit.

"Data yang diterima akan dikumpulkan sebelum simulasi dan implan 3D dicetak serta menjadikan proses rawatan diberi kepada pesakit lebih efisien,” katanya.

Antara ahli perubatan dan pasukan yang terlibat ketika pembedahan penggantian rahang implan 3D titanium. - Gambar Avisena Specialist Hospital

Teknologi yang digunakan untuk mencetak implan 3D titanium. - Gambar Avisena Specialist Hospital

Tambahnya, untuk rekod sejak 2016, sebanyak 600 rawatan melibatkan pembedahan implan cetakan 3D berjaya disempurnakan.

Kejayaan itu turut disokong MTDC yang menjadi tonggak utama teknologi Industri 4.0 (I4.0) di Malaysia.

Ini sekali gus memanfaatkan teknologi I4.0 yang dibangunkan usahawan tempatan dalam pelbagai sektor.


*Artikel ini adalah kandungan berbayar.