BANGKOK: Malaysia berminat untuk belajar dari Thailand dalam sektor pertanian, terutamanya dalam penternakan udang putih (vannamei) dan penanaman durian, sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempertingkat kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Kaunselor Pertanian di Kedutaan Malaysia di Bangkok, Hairuddin Maslan berkata Thailand - terutamanya wilayah Surat Thani di selatan Thailand - merupakan pengeluar utama udang putih (vannamei), durian dan minyak sawit.

Surat Thani ialah pengeluar utama udang putih di Thailand dengan pengeluaran tahunan sebanyak 50,000 tan - berjaya menembusi pasaran Amerika Syarikat, Jepun dan China. Pada masa ini, terdapat 603 penternak udang di Surat Thani.

"Wilayah Surat Thani mempunyai potensi besar dalam penternakan udang. Pelabur dan usahawan Malaysia boleh bekerjasama dan mengembangkan operasi mereka ke Surat Thani.

"Penternak udang di Surat Thani bersedia untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan, termasuk pematuhan Amalan Akuakultur Baik (GAP) selain maklumat untuk mengawal penyakit-penyakit udang dengan Malaysia," katanya kepada Bernama.

Hairuddin berkata kejayaan Thailand memajukan sektor pertanian melalui penglibatan masyarakat tempatan patut dicontohi dan dipraktikkan di Malaysia bagi merancakkan sektor pertanian negara.

Bagi memastikan udang berkualiti tinggi, Hairuddin berkata Jabatan Perikanan Surat Thani bekerjasama dengan persatuan tempatan seperti Kelab Penternak Udang Surat Thani dan Koperasi Penternak Udang daerah Kanchanadit untuk membangunkan, memantau dan menyelia aktiviti penternakan.

"Selain itu, (program) 'Hari Udang' diadakan pada setiap tahun. Ia berfungsi sebagai platform untuk berkongsi maklumat berkaitan penternakan udang, seperti kawalan penyakit, teknologi terkini, peningkatan pengeluaran dan pemasaran dengan penternak udang di wilayah ini," katanya.

Sementara itu, Hairuddin berkata Pengerusi Durian Mega Farm, Siri Haosakul mengalu-alukan usahawan durian Malaysia untuk bekerjasama dalam pertukaran teknologi dan amalan pengurusan ladang terkini untuk membangunkan industri durian.

"Pekebun durian dari Malaysia dan Thailand boleh berkongsi pengalaman dan teknik-teknik pemasaran untuk menembusi pasaran yang lebih luas," katanya.

Durian Mega Farm di Surat Thani melibatkan kira-kira 100 keluarga yang mengusahakan tanaman durian di kawasan seluas 249 hektar, dijangka menghasilkan 900 tan durian pada setiap musim.

Hairuddin berkata ladang yang melibatkan masyarakat itu memberi pendedahan dan bimbingan kepada pekebun durian dalam pengurusan penanaman dan pemasaran.

"Setiap pekebun turut dibantu dalam mendapatkan pensijilan Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi memastikan buah-buahan yang dihasilkan akan menembusi kedua-dua pasaran tempatan dan eksport," katanya.

Bagi menggalakkan generasi muda menceburi bidang pertanian, Hairuddin berkata Malaysia boleh mencontohi inisiatif Peladang Pintar Muda Surat Thani yang berjaya melahirkan ramai petani muda.

Beliau berkata inisiatif Peladang Pintar Muda Surat Thani dengan keahlian seramai 350 petani muda, diperkenalkan oleh Jabatan Kemajuan Pertanian Thailand untuk menggalakkan belia menyertai pertanian dengan menerapkan teknologi ke dalam pertanian.

"Malaysia boleh mencontohi inisiatif ini untuk menarik minat generasi muda dalam sektor pertanian dan membangunkan komuniti petani muda di Malaysia," tambahnya.

-- BERNAMA