Malaysia bukan sarang bagi kegiatan merekrut pengganas di rantau ini, demikian tegas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Pengganas ini bergerak bukan sahaja di Malaysia tapi ke negara-negara Asia Barat. Mereka boleh direkrut di mana-mana sahaja kesan daripada globalisasi dan teknologi hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas perkembangan penahanan dua rakyat Malaysia di Lubnan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan al-Qaeda 18 Okt lepas,

Hishammuddin sebelum itu menghadiri mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian (DTF) ke-22 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai jenayah, di bangunan Parlimen.

Hishammuddin berkata isu keganasan merupakan realiti global dan pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan aktiviti pengganas tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara.