PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan, Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang membangunkan vaksin COVID-19.

Menurut beliau, vaksin jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) dibangunkan mulai November tahun lalu dan kini berada di peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2.

"Status buat masa ini ialah peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2.

"Selepas ia selesai, kajian praklinikal ke atas haiwan besar dan kecil akan dilaksanakan sebelum kajian klinikal terhadap manusia fasa 1, 2 dan 3 perlu dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), pada Isnin yang turut dihadiri Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.