KUALA LUMPUR:Malaysia berjaya mendapatkan semula pemulangan aset yang dikaitkan dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai RM15.4 bilion (AS$3.9 bil) setakat ini. 

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, antara pemulangan terbesar adalah daripada syarikat Goldman Sachs kepada Malaysia.

"Malaysia meneruskan usaha mendapatkan semula aset 1MDB, meskipun sejak tahun lalu kita berdepan dengan pandemik COVID-19, Malaysia berjaya mendapatkan semula RM13.4 billion tunai, aset fiskal 1MDB.

"Bagaimanapun, pemulangan terbesar dicatatkan apabila pemulangan aset 1MDB daripada Goldman Sachs bernilai AS$2.5 bilion, tidak termasuk jaminan dari Goldman Sachs bernilai AS$1.4 bilion," katanya.

Tegas Tengku Zafrul lagi, Malaysia terus komited dalam pembayaran semula hutang-hutang 1MDB seperti ditetapkan dalam Belanjawan 2021.

"Walaupun pandemik COVID-19, langkah seterusnya, Malaysia akan berusaha mendapatkan lebih banyak pemulangan aset syarikat 1MDB secara berkesan dan pragmatik untuk negara dan rakyat," katanya dalam temubual bersama Bloomberg secara dalam talian pada Jumaat.