NATIONAL
Malaysia di tangga ke-33 dalam Laporan Indeks Inovasi Global

Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024, menunjukkan peningkatan ketara selepas tiga tahun berturut-turut menduduki tempat ke-36. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024, menunjukkan peningkatan ketara selepas tiga tahun berturut-turut menduduki tempat ke-36.
Ringkasan AI
- Malaysia naik ke tangga ke-33 dalam Indeks Inovasi Global 2024, menunjukkan peningkatan selepas tiga tahun di tempat ke-36.Malaysia kekal kedua paling berinovasi dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi dan negara ASEAN, selepas China dan Singapura.Kuala Lumpur masuk dalam senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi, mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab inovasi di Asia Tenggara.
Menurut kenyataan tersebut, Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pertama dalam tiga sub-indikator iaitu Graduates in Science and Engineering, High-Tech Exports, dan Creative Goods Exports.
"Ekosistem inovasi Malaysia turut diperkukuhkan dengan Kuala Lumpur menduduki tangga ke-93 dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi yang turut dilaporkan dalam Laporan GII 2024.
"Kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi buat kali pertama sejak tahun 2016 merupakan bukti peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab inovasi dan kemajuan teknologi di rantau Asia Tenggara," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa peningkatan prestasi Malaysia dalam GII dan kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi membuktikan komitmen kerajaan, khususnya MOSTI, dalam memperkukuh ekonomi negara berasaskan inovasi.
MOSTI juga menegaskan bahawa Malaysia akan terus mempergiatkan usaha melabur dalam modal insan dan infrastruktur teknologi bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.
Bagi memastikan Malaysia mencapai kedudukan 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025, MOSTI, dengan kerjasama semua kerajaan negeri, sedang membangunkan Malaysia Innovation Index yang akan dilancarkan pada tahun depan.
"Inisiatif ini bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ekosistem inovasi di setiap negeri, sekali gus membolehkan pelaksanaan intervensi yang sesuai bagi memperkukuhkan ekosistem inovasi negara.
"Inisiatif ini juga selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia MADANI untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya cipta dan pengeluar teknologi menjelang 2030," menurut kenyataan tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami