SEREMBAN: Malaysia dijangka menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) bulan depan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan.

Beliau berkata tarikh perjanjian dimeterai akan ditentukan oleh kerajaan Indonesia dalam waktu terdekat.

"Sebenarnya kita jangka MoU itu ditandatangani pada awal Februari tetapi terpaksa tangguh kerana keadaan yang tidak sesuai. Jadi, kita harap dalam Mac ini, memandangkan MoU ini akan ditandatangani di Indonesia, jadi saya minta mereka (kerajaan Indonesia) tetapkan tarikh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi penguatkuasaan khas bersepadu di bawah Undang-Undang Perburuhan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di sini hari ini.

Dua hari lepas, Saravanan dilaporkan berkata pemeteraian MoU PDI itu memberikan manfaat kepada kedua-dua negara khususnya golongan PDI yang memerlukan pekerjaan dalam situasi ekonomi global yang masih berdepan krisis COVID-19 serta majikan tempatan yang memerlukan khidmat pembantu rumah.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga akan ke Kemboja tidak lama lagi bagi membincangkan reaksi dan perkara berkaitan pengambilan tenaga buruh termasuk pembantu rumah memandangkan negara tidak boleh bergantung kepada satu-satu negara sumber sahaja.

"Belum tahu lagi (jumlah tenaga buruh akan diambil), baru terima arahan Perdana Menteri, beliau minta saya berbincang dengan Kemboja," katanya menambah setakat ini 1,054 pekerja Kemboja berada di negara ini dengan 1,003 orang adalah pembantu domestik.

Beliau turut menegaskan tiada diskriminasi terhadap kesemua buruh asing berkenaan kerana mereka turut mendapat kemudahan yang sama seperti diterima pekerja tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kedutaan Amerika Syarikat telah menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada badan bukan kerajaan negara ini bagi membantu mengambil tindakan terhadap kes membabitkan buruh paksa.

Mengenai operasi penguatkuasaan berkenaan, Saravanan berkata seorang pekerja restoran warga India diselamatkan kerana disyaki mangsa pemerdagangan manusia selain didapati tidak mempunyai permit sah dan lelaki itu akan dihantar ke rumah perlindungan di Melaka selepas mendapat perintah perlindungan sementara daripada mahkamah.

Beliau berkata sejak 1 hingga 23 Feb lepas seramai 40,922 majikan melibatkan lebih 4 juta pekerja tempatan dan asing di seluruh negara diperiksa bagi memastikan mereka mematuhi Akta 446.

-- BERNAMA