Skip to main content

Malaysia

Malaysia gesa ASEAN perkukuh pengiktirafan kemahiran tenaga kerja

SUBANG, 2 April -- Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berucap merasmikan Program Bicara Dan Perkongsian Menelusuri Hari Pekerja: Pekerja Kesuma Bangsa, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ramanan berkata, Malaysia mahu memastikan tenaga mahir yang dilatih dan memperoleh kelayakan di negara ASEAN mempunyai kemahiran yang diyakini industri, diiktiraf merentas sempadan. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa negara anggota ASEAN memperkukuh pengiktirafan kemahiran dan kelayakan tenaga kerja bagi memastikan bakat rantau ini bukan sahaja memenuhi keperluan industri, malah mampu bersaing di peringkat global.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata tiga keutamaan yang diketengahkan Malaysia ialah memperkukuh pensijilan bersama dan penyelarasan kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperluas pemindahan teknologi serta peningkatan kemahiran tenaga pengajar, selain membangunkan program latihan bertaraf dunia dalam bidang masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan generasi baharu dan robotik.

“Malaysia mahu memastikan tenaga mahir yang dilatih dan memperoleh kelayakan di negara ASEAN mempunyai kemahiran yang diyakini industri, diiktiraf merentas sempadan dan mempunyai peluang lebih luas untuk membina kerjaya serta bersaing di pentas dunia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Ramanan berkata perkara itu diketengahkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Campur Tiga ke-14 yang menghimpunkan negara anggota ASEAN bersama China, Jepun dan Korea Selatan di Bangkok, Thailand, pada Khamis.

Beliau berkata kerjasama dengan China, Jepun dan Korea Selatan penting bagi mempercepat usaha berkenaan menerusi perkongsian kepakaran, teknologi dan amalan terbaik.

“Kerjasama ini bukan sekadar mengenai pengiktirafan sijil, tetapi tentang masa depan dan nilai tenaga kerja kita,” katanya.

Ramanan berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif bersama negara anggota ASEAN, China, Jepun dan Korea Selatan bagi memastikan tenaga kerja rantau ini memiliki kemahiran yang relevan, kelayakan yang diyakini serta keupayaan untuk bersaing di mana-mana sahaja.

“Kita mahu bakat ASEAN bukan sekadar memenuhi keperluan dunia pekerjaan masa hadapan, tetapi menjadi antara tenaga mahir terbaik yang menjadi pilihan dunia,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement