Malaysia mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) segera membincangkan isu pergolakan yang sedang berlaku di Mesir dan Syria.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Wisma Putra telah mengirim surat kepada Setiausaha Agung OIC meminta supaya satu sidang diadakan bagi membolehkan negara-negara Islam membuat satu ketetapan ke arah menyelesaikan konflik berkenaan.

"Kita tidak berniat untuk campur tangan dalam hal ehwal negara berkenaan tetapi selaku anggota dalam organisasi negara-negara Islam, Malaysia ingin melihat pihak-pihak tertentu di Mesir dan Syria dapat duduk bersama bagi mencari penyelesaian," katanya.

Bercakap kepada pemberita pada jamuan malam bagi meraikan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman yang akan tamat tempoh perkhidmatan hujung bulan ini, Anifah berkata sebagai negara Islam, Malaysia terpanggil untuk melakukan sesuatu bagi memastikan keamanan dapat dikembalikan di kedua-dua negara itu.

"Oleh kerana Malaysia adalah antara negara Islam dan anggota OIC, jadi kita rayu semua pihak boleh duduk bersama, berdialog bagi mencari jalan demi untuk kebaikan rakyat," tegas Anifah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Ops Piramid 2 untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Mesir berjalan lancar seperti yang dirancang.

Sejak dimulakan Khamis lepas, 450 pelajar telah selamat dibawa pulang ke tanah air, katanya.

Selasa lepas, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersil berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini berkata keselamatan pelajar Malaysia di Mesir menjadi keutamaan kerajaan ketika ini dan urusan membawa mereka pulang tidak boleh dilengahkan kerana kemungkinan keadaan menjadi lebih serius.