MALAYSIA
Malaysia hantar kontinjen terbesar ke 'World Scout Moot' di Portugal

Mohd Zin ketika sidang media sempena majlis Persekutuan Pengakap Malaysia menyerahkan bendera kepada kontinjen Malaysia sebagai simbolik pelepasan ke 16th World Scout Moot 2025 di Portugal hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) hari ini menyerahkan bendera kepada kontinjen negara sebagai simbolik pelepasan ke 16th World Scout Moot 2025 yang akan berlangsung di Portugal dari 24 Julai hingga 3 Ogos ini.
Ringkasan AI
- Kontinjen Terbesar Malaysia ke Portugal: Persekutuan Pengakap Malaysia menghantar 19 peserta ke World Scout Moot di Portugal, menjadikannya penyertaan terbesar negara dalam sejarah acara tersebut.
- Platform Kepimpinan dan Pertukaran Budaya: Program ini menghimpunkan lebih 8,000 pengakap dari 100 negara, dengan fokus kepada kepimpinan belia, penglibatan komuniti, dan pembangunan sahsiah melalui aktiviti seperti STEM, kerohanian dan Parlimen Belia.
- Tema Engage dan Aspirasi Global: Bertemakan Engage, penyertaan Malaysia selaras dengan aspirasi membina generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran masa depan, termasuk dalam era kecerdasan buatan (AI).
Mohd Zin berkata kontinjen Malaysia kali ini terdiri daripada 19 peserta termasuk anggota Pengakap Kelana dan pasukan pengurusan, menjadikannya penyertaan terbesar negara dalam sejarah World Scout Moot.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk ibu bapa, penaja dan badan pengakap negeri yang menyokong misi kontinjen negara ke Portugal.
"Mereka diharap dapat menjadi ejen perubahan serta menyumbang ilmu dan pengalaman yang diperoleh demi kemajuan masyarakat dan negara," katanya.
Program anjuran Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) setiap empat tahun itu bakal menghimpunkan lebih 8,000 pengakap Kelana dan dewasa dari 100 negara, khusus untuk belia berusia 18 hingga 25 tahun.
Edisi ke-16 itu akan berlangsung di beberapa lokasi utama termasuk Lisbon, Ovar dan Porto, dengan fokus kepada pembinaan kepimpinan, pertukaran budaya, penglibatan komuniti dan pembangunan sahsiah.
Selepas upacara perasmian di Lisbon, peserta akan menyertai 'Path', iaitu projek berasaskan komuniti, alam sekitar, pengembaraan dan budaya bagi mendalami identiti Portugal.
Mereka kemudian akan ke Ovar, iaitu tapak perkhemahan utama bagi menyertai pelbagai aktiviti termasuk kerohanian; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta aktiviti lasak, sebelum ke Porto untuk Forum Belia Mini dan aktiviti Parlimen Belia menjelang upacara penutup.
Bertemakan 'Engage' dan berteraskan moto 'Pengakap Kelana untuk berkhidmat', penyertaan ini dilihat sebagai peluang terbaik bagi kontinjen Malaysia mengasah potensi diri dalam era kecerdasan buatan (AI).
Kontinjen Malaysia dijangka berlepas tidak lama lagi dan pulang pada awal Ogos.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami