Malaysia hanya menyelaras rundingan damai Thailand-Kemboja, tidak tetapkan syarat - PM Anwar

Anwar menegaskan Malaysia tidak pernah memaksa mana-mana pihak dalam proses perdamaian itu. - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Malaysia hanya bertindak sebagai penyelaras dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja tanpa menetapkan sebarang syarat, dengan keputusan sepenuhnya ditentukan oleh kedua-dua negara berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Malaysia berperanan sebagai penyelaras dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja tanpa menetapkan sebarang syarat, dengan keputusan sepenuhnya ditentukan oleh kedua-dua negara berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Anwar menegaskan Malaysia hanya membantu menyelaras proses perdamaian itu tanpa memaksa mana-mana pihak, dan keyakinan negara terhadap peranan Malaysia dalam usaha perdamaian serantau tetap utuh walaupun terdapat kritikan daripada pihak tertentu.
- Malaysia kekal komited terhadap usaha memastikan keamanan serantau kerana ketegangan di rantau ini turut memberi kesan kepada negara, lebih-lebih lagi Malaysia memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN sehingga Disember ini.
"Mereka yang menetapkan parameters, bukan kita yang meletakkan syarat. Kita tidak menentukan syarat rundingan damai itu. Malaysia hanya membantu menyelaras, dan persetujuan dicapai oleh kedua-dua pihak," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) yang bertanyakan mengenai tekanan daripada pihak tertentu yang mengkritik peranan Malaysia dalam rundingan damai tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pandangan yang mempertikaikan peranan Malaysia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi, kerana perbezaan pandangan juga berlaku dalam setiap negara.
"Dalam Malaysia ini pun ada perjanjian (yang kita buat) dan ada yang tidak bersetuju. Di Thailand pun begitu. Tetapi saya berunding dengan perdana menteri dan kerajaan. Kalau ada seorang bekas jeneral (Rangsi Kitiyansap) bangkitkan isu, itu hak dia," katanya.
Anwar menegaskan walaupun terdapat kritikan daripada pihak tertentu, keyakinan negara terlibat terhadap peranan Malaysia dalam usaha perdamaian serantau tetap utuh.
"Kejayaan Malaysia juga mungkin dicemburui, kita tahu. Ada yang kurang senang mengapa negara kecil seperti Malaysia mendapat perhatian dunia?.
"Isu yang dibangkitkan sekarang berkaitan letupan periuk api di kawasan yang dikatakan melibatkan tentera Kemboja. Jadi sementara isu itu belum selesai, kita tangguhkan kelulusan, tetapi Thailand tidak mempertikai peranan kita," katanya.
Beliau berkata Perdana Menteri Thailand tidak pernah mempersoalkan tanggungjawab Malaysia, sebaliknya meminta supaya Malaysia mendesak Kemboja mematuhi sepenuhnya rundingan damai berkenaan.
Sehubungan itu, Anwar berkata beliau telah mengarahkan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan laporan dan berunding semula bagi membantu menyelesaikan isu tersebut.
Malaysia, tegas Anwar, kekal komited terhadap usaha memastikan keamanan serantau kerana ketegangan di rantau ini turut memberi kesan kepada negara, lebih-lebih lagi Malaysia memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN sehingga Disember ini.
"Kalau tanya saya, saya doa biar selesai. Tidak ada sebab kita mahu pertikaian itu berpanjangan hanya untuk menunjukkan Perdana Menteri Malaysia gagal. Itu sikap yang sangat merugikan.
"Saya mahu keamanan. Kalau mereka bergaduh, kesannya kepada kita. Dan selagi Malaysia pengerusi ASEAN sehingga Disember ini, kedua-dua pihak masih berurusan dengan kita," katanya.
Pada 26 Okt lepas, Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur yang disaksikan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Anwar.
Kedua-dua negara itu turut mencapai persetujuan gencatan senjata tanpa syarat pada 28 Julai dalam mesyuarat tiga hala yang dianjurkan Anwar selepas beberapa minggu ketegangan di sempadan.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah peranan Malaysia dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja? A: Malaysia bertindak sebagai penyelaras tanpa menetapkan sebarang syarat, dengan keputusan sepenuhnya ditentukan oleh Thailand dan Kemboja.
- Q: Mengapakah Malaysia berperanan sebagai penyelaras dalam rundingan damai tersebut? A: Malaysia berperanan sebagai pemudah cara bagi memastikan rundingan berlangsung lancar tanpa memaksa mana-mana pihak.
- Q: Apakah pandangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terhadap kritikan terhadap peranan Malaysia dalam rundingan damai? A: Anwar menyatakan bahawa kritikan terhadap peranan Malaysia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi, dengan keyakinan negara terlibat terhadap peranan Malaysia tetap utuh.
- Q: Apakah tindakan yang diambil Malaysia berkaitan dengan kejadian letupan periuk api di kawasan yang melibatkan tentera Kemboja? A: Malaysia telah menangguhkan kelulusan dan Panglima Angkatan Tentera diarahkan untuk mendapatkan laporan serta berunding semula bagi menyelesaikan isu tersebut.
- Q: Apakah persetujuan penting yang dicapai antara Kemboja dan Thailand dalam rundingan damai di Kuala Lumpur? A: Kedua-dua negara mencapai perjanjian damai dan persetujuan gencatan senjata tanpa syarat yang disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 26 Okt dan 28 Julai.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

