NATIONAL
Malaysia harap PBB main peranan kawal ketegangan Pakistan-India - Mohamed Khaled

Mohamed Khalid (tengah) bercakap kepada pemberita selepas hadir Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri (PPN), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Ke-56 di Ulu Tiram hari ini. -Bernama
JOHOR BAHRU: Malaysia mengikuti rapat perkembangan ketegangan di antara Pakistan dan India dan berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat memainkan peranan dalam mengawal keadaan di benua Asia Selatan itu.
Ringkasan AI
- Malaysia mengikuti rapat perkembangan ketegangan antara Pakistan dan India dan berharap PBB dapat memainkan peranan dalam mengawal keadaan di Asia Selatan.
- Pakistan mendakwa India merancang melancarkan serangan tentera dalam masa terdekat, berikutan ketegangan susulan serangan berdarah di Kashmir yang mengorbankan 26 pelancong.
- Kementerian Pertahanan Malaysia bercadang menyusun semula persatuan veteran angkatan tentera untuk meningkatkan keberkesanan dan perhatian terhadap pandangan serta 'suara' veteran.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri (PPN) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor Ke-56 di sini hari ini.
Pakistan hari ini dilaporkan mengulangi amaran pasukan risikan yang boleh dipercayai dan mendakwa India merancang melancarkan serangan tentera terhadap negara itu dalam masa terdekat.
Ia berikutan ketegangan antara kedua-dua negara bersenjata nuklear itu semakin memuncak susulan serangan berdarah mengorbankan 26 pelancong di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April.
India mengenal pasti tiga penyerang, termasuk dua warganegara Pakistan, sebagai pengganas yang menjalankan pemberontakan bersenjata di wilayah majoriti Islam itu manakala Islamabad menafikan sebarang pembabitan dan menggesa siasatan bebas dijalankan.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan bercadang menyusun semula persatuan membabitkan veteran angkatan tentera bagi memastikan keberkesanan persatuan-persatuan terbabit.
Beliau berkata pada masa ini terdapat 122 persatuan membabitkan veteran angkatan tentera dan ada sesetengah persatuan berkenaan tidak aktif serta memilik jumlah keahlian yang terlalu kecil.
"Jadi kita nak susun semula supaya persatuan yang diwujudkan benar-benar dapat memenuhi kehendak ahli dan pandangan mengenai hal veteran dapat dibawa secara bersepadu.
"Hal ini sekali gus akan meningkatkan keberkesanan serta perhatian yang diperoleh terhadap pandangan serta 'suara' veteran berbanding setiap persatuan bergerak sendirian," katanya.
Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan RM40,000 bagi kerja-kerja mengecat dan menaik taraf Pejabat PVATM di Johor Bahru serta RM44,000 bagi menjalankan aktiviti di peringkat cawangan PVATM negeri Johor.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami