KUALA LUMPUR: Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) yang juga dikenali sebagai Malaysia Healthcare menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) pada Khamis masing-masing bersama China International Medical Exchange and Cooperation Committee (IMECC) dan Hospital Hangzhou Rende Maternity bagi secara koloberatifnya memperbaiki pengalaman pelancong perubatan daripada China.

Malaysia Healthcare dalam satu kenyataan menyatakan, kerjasama itu akan meningkatkan pertukaran pengetahuan antara IMECC dan Hospital Hangzhou Rende Maternity bersama MHTC menerusi sesi Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) secara bersiri secara maya.

"Pakar penjagaan kesihatan Malaysia dan China akan meneroka dan membincangkan amalan terbaik industri dan masalah penjagaan kesihatan. Selain itu kerjasama dengan setiap entiti tersebut juga akan menyediakan jalan untuk pesakit dari China untuk mendapatkan pilihan rawatan yang selamat dan dipercayai bersama MHTC, menerusi konsultasi bersama doktor mereka di rumah," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Mohd Daud Mohd Arif berkata, menerusi kerjasama dengan IMECC dan Hangzhou Rende maternity Hospital, pelancong perubatan dari China akan mendapat manfaat daripada pengalaman perjalanan pesakit yang lebih holistik yang menawarkan perkhidmatan pra dan selepas rawatan yang sangat baik.

"Saya menantikan sesi pertukaran pengetahuan ini kerana ini akan mengukuhkan reputasi kami untuk memberikan perkhidmatan berkualiti bertaraf dunia yang meningkatkan kepercayaan pesakit dan memenuhi keperluan pelancong kesihatan," katanya.

Presiden IMECC Ching Manho berkata, IMECC gembira untuk bekerjasama dengan MHTC, sebuah agensi kerajaan yang mempromosikan industri pelancongan kesihatan negara, dikenali sebagai Malaysia Healthcare, di seluruh dunia.

"Dengan reputasi Malaysia yang diperakukan dalam menyediakan rawatan kesuburan, kardiologi dan onkologi, kami berharap untuk menjalinkan kerjasama jangka panjang di mana pakar perubatan kedua-dua negara boleh bergabung dan bekerja ke arah kecemerlangan perubatan dan perkhidmatan," katanya.

Dekan Hospital Hangzhou Rende Maternity Ren Ding Xiang berkata, institusi itu akan bekerja rapat dengan Pusat Rujukan Antarabangsa Malaysia Hangzhou bagi memastikan pengalaman yang lancar untuk pesakit yang mendapatkan rawatan tambahan di Malaysia.

Menurut kenyataan Malaysia Healthcare, Malaysia kini semakin menjadi destinasi penjagaan kesihatan untuk pelancong perubatan dari China, terutamanya sejak Malaysia telah diletakkan sebagai hab serantau kesuburan di Asia dan alami peningkatan permintaan rawatan kesuburan sehngga 300 petatus antara 2011 hingga 2016.

Dengan perkara yang sama, Malaysia juga telah diletakkan sebagai hab kardiologi Asia, dengan menjadi tuan rumah kepada institusi kesihatan kardio yang sangat terkenal yang telah mencapai banyak kejayaan dalam bidang kardiologi. Pada masa hadapan, Malaysia juga akan namakan sebagai pusat kecemerlangan kanser, menurut kenyataan tersebut.

-- BERNAMA