MALAYSIA
Malaysia, Indonesia perkukuh gagasan peradaban Islam MADANI melalui deklarasi bersama

Anwar (tengah) menerima Deklarasi Majlis Cendiakawan MADANI Malaysia Indonesia 2025 daripada Prof Dr M. Din Syamsuddin (kiri) selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra hari ini. -Foto Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia hari ini memperkukuh komitmen bersama dalam membina visi peradaban Islam yang adil, seimbang, dan berteraskan nilai kemanusiaan melalui penyerahan rasmi Deklarasi Majlis Cendekiawan MADANI Malaysia-Indonesia 2025 (MALINDO MADANI) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Putra, di sini.
Ringkasan AI
- Malaysia dan Indonesia menyerahkan Deklarasi MALINDO MADANI 2025 kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai komitmen membina peradaban Islam yang adil dan berteraskan nilai kemanusiaan.
- Deklarasi menggariskan lima teras utama termasuk pengembangan peradaban Melayu-Islam, keseimbangan alam sekitar, pemulihan psikologi masyarakat, pemerkasaan ekonomi halal, dan pengiktirafan kepelbagaian tamadun.
- Profesor Dr M Din Syamsuddin menyokong gagasan Negara MADANI sebagai solusi dunia Islam, dengan harapan ia diterapkan di Malaysia, Indonesia dan peringkat global.
"Gagasan Negara MADANI yang diketengahkan Anwar Ibrahim wajar dijadikan panduan bersama. Deklarasi ini adalah solusi bagi dunia.
"Malaysia dan Indonesia mampu menjadi model peradaban Islam yang adil dan seimbang, bukan sahaja di rantau ini, malah untuk seluruh umat Islam.
"Kami berharap visi ini dapat diterapkan secara jayanya di Indonesia, Malaysia, dan seantero dunia," katanya.
Deklarasi MALINDO MADANI menggariskan lima perkara utama:
- Pengembangan potensi peradaban Melayu-Islam sebagai teras tamadun Nusantara
- Penekanan terhadap keseimbangan alam sekitar berbanding eksploitasi ekonomi
- Pemulihan keseimbangan psikologi individu dan masyarakat
- Pemerkasaan sektor halal dan kewangan Islam ke arah ekonomi yang adil
- Pengiktirafan kepelbagaian tamadun sebagai asas keharmonian sejagat
Inisiatif strategik ini menghimpunkan para cendekiawan, pemimpin pertubuhan Islam, pembuat dasar dan tokoh masyarakat dari kedua-dua negara serta rantau serantau bagi membincangkan agenda peradaban berteraskan nilai Malaysia MADANI.
Terdahulu, Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu kelabu turut menunaikan solat Jumaat, bacaan Qunut Nazilah dan solat hajat bersama lebih 4,000 jemaah bagi mendoakan kesejahteraan umat Islam di Gaza.
Khutbah bertajuk “Bangkit Membela Teguh Bersaudara” disampaikan oleh Imam Besar Masjid Putra, Dr Muhammad Zakuwa bin Rodzali.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; serta Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami