KUALA LUMPUR: Malaysia pada Isnin mengutuk sekeras-kerasnya serangan Houthi dari Yaman yang menyasarkan kawasan dan kemudahan awam di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini berkata serangan itu adalah satu bentuk ancaman, dan mereka yang melancarkan serangan harus bertanggungjawab.

"Malaysia menzahirkan simpati dan takziah kepada mereka yang terjejas akibat serangan itu. Malaysia menolak segala bentuk keganasan yang menjejaskan keamanan dan keselamatan serantau.

"Permusuhan dan keganasan akan memudaratkan kestabilan dan keamanan di rantau ini. Malaysia akan terus menyokong usaha mencari jalan penyelesaian secara aman dan damai terhadap konflik di Yaman," tambah kenyataan itu.

Kumpulan pemberontak Houthi Yaman pada Isnin mengaku bertanggungjawab terhadap "operasi ketenteraan kualitatif" di UAE sebagai sebahagian daripada gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi di Yaman.

Houthi mengeluarkan pengakuan itu sejurus selepas tiga lori tangki petroleum meletup dalam kebakaran berhampiran bangunan penyimpanan Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (ADNOC) di daerah perindustrian Musaffah, ibu negara UAE, lapor agensi berita rasmi WAM, memetik pengumuman polis Abu Dhabi .

Kebakaran kecil turut berlaku di kawasan pembinaan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

Siasatan awal mendapati kebakaran dan letupan mungkin berpunca daripada dron yang tidak dikenalpasti di kawasan itu, kata WAM.

-- BERNAMA