KUALA LUMPUR: Malaysia melahirkan rasa kecewa dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal mengutuk serta menggesa keganasan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun sudah memasuki sesi ketiga Majlis Keselamatan PBB, namun badan dunia itu masih belum membuat satu kenyataan mengenai situasi semasa di Palestin.

"Atas sebab ketiadaan sebarang tindakan daripada Majlis Keselamatan PBB - Malaysia, selaras dengan kenyataan bersama negara Brunei Darussalam dan Indonesia mendesak Perhimpunan Agung PBB untuk segera mengadakan Sesi Khas bagi menghentikan konflik di Palestin.

"PBB perlu mendesak Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Malaysia menekankan tiga perkara penting semasa Sidang Video Majlis Keselamatan PBB semalam iaitu Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB.

Kedua, Majlis Keselamatan PBB hendaklah tegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh rejim Israel.

Akhir sekali, Majlis Keselamatan PBB perlu mengkaji semula cadangan yang terkandung dalam laporan Setiausaha Agung pada tahun 2018, A / ES-10/794, mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin.

Justeru, Malaysia sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin dan umat Islam yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa.

"Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan berterusan oleh tentera Israel serta pengusiran rakyat Palestin yang menetap di kawasan Sheikh Jarrah dan Silwan di Baitulmaqdis.

"Malaysia tidak akan sesekali mengiktiraf tindakan pencerobohan dan rampasan tanah milik rakyat Palestin bagi tujuan perluasan penempatan haram mereka," tegas Hishammuddin.