KUALA LUMPUR: Malaysia kekal sebagai peneraju agenda pekerjaan hijau ASEAN bagi tempoh 2026-2030, dengan negara diberi tanggungjawab mengetuai projek serantau berkaitan bidang itu di bawah program kerja baharu Menteri-Menteri Buruh ASEAN.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, peranan itu, ditetapkan menerusi ASEAN Labour Ministers’ Work Programme 2026-2030, sekali gus meneruskan mandat yang telah diberikan kepada Malaysia dalam memacu agenda pekerjaan hijau, sejak mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN (ALMM) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh ASEAN (SLOM), pada 2018.
“Peralihan kepada ekonomi hijau, tidak boleh hanya dilihat dari sudut alam sekitar atau pelaburan. Kita perlu memastikan tenaga kerja ASEAN mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk mengisi pekerjaan baharu yang akan diwujudkan.
“Pada masa yang sama, peralihan ini mesti dilaksanakan secara adil dan inklusif, supaya tiada pekerja atau kelompok masyarakat yang tercicir daripada perubahan ekonomi yang sedang berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan intervensi Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN ke-29 (ALMM), yang diadakan di Dusit Thani Bangkok, Thailand pada Rabu.
Ramanan berkata, dua dokumen penting berkaitan pekerjaan hijau, berjaya dicapai sebagai sebahagian daripada hasil Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, iaitu ASEAN Framework and Action Plan (FAP) for a Just and Inclusive Transition to Green Jobs 2025-2030 dan Joint Statement on Actionable Plan for Green Jobs Towards a Sustainable and Inclusive ASEAN Workforce.
Beliau berkata, dokumen berkenaan, menyediakan hala tuju strategik bagi ASEAN mengurus perubahan tenaga kerja susulan peralihan ekonomi hijau, selain memperkukuh tindakan bersama dengan negara anggota dalam membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi perubahan ekonomi masa hadapan.
Ramanan turut memaklumkan, kejayaan Malaysia menganjurkan ASEAN Green Jobs Forum (AGJF) 2025 di Putrajaya, yang menghimpunkan lebih 450 delegasi dengan memberi tumpuan kepada tema AI, Digitalisation and Green Jobs.
Beliau berkata, forum itu berjaya mengalihkan perbincangan serantau daripada sekadar dasar ,kepada perancangan pelaksanaan yang lebih konkrit.
Antara keutamaan yang dikenal pasti ialah pembangunan bersama taksonomi pekerjaan dan kemahiran hijau ASEAN, yang boleh dipadankan dengan ASEAN Qualifications Reference Framework (AQRF), di samping memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemudah cara dalam latihan dan pembangunan kemahiran.
Turut diberi perhatian ialah pemodenan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menerusi kerjasama lebih rapat dengan industri, sokongan alam sekitar, sosial dan tadbir urus ESG yang bersasar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta memastikan peluang pekerjaan baharu turut dapat dimanfaatkan oleh wanita, belia dan pekerja sektor tidak formal.
Ramanan berkata, usaha tersebut penting, bagi memastikan agenda pekerjaan hijau tidak bergerak secara terasing, sebaliknya menjadi sebahagian daripada pembangunan tenaga kerja ASEAN dalam menghadapi perubahan teknologi, digitalisasi dan transformasi industri.
Dalam perkembangan sama, Malaysia menyatakan sokongan terhadap Filipina yang akan menjadi tuan rumah ASEAN Green Jobs Forum 2026 di Manila pada Oktober ini.
Ramanan berkata, penganjuran AGJF secara bergilir mengikut Kepengerusian ASEAN merupakan perkembangan positif, kerana ia menjadikan agenda pekerjaan hijau satu tanggungjawab bersama negara anggota.
Malaysia sebelum ini menjadi tuan rumah AGJF pada 2024 dan 2025.
“Malaysia bersedia bekerjasama rapat dengan Filipina bagi memastikan AGJF 2026 menghasilkan tindakan yang bermakna dalam pelaksanaan ASEAN Framework and Action Plan 2025–2030,” katanya.
-- BERNAMA