ISKANDAR PUTERI: Malaysia kekal berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran sebagai Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030, meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik Asia Barat, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata sasaran sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak 25.5 peratus bagi 2025, manakala matlamat 30 peratus KDNK menjelang 2030 kekal ditetapkan.
Advertisement
“Buat masa sekarang, kita masih ‘on track’… kita akan membuat persiapan yang diperlukan sekiranya ada sebarang kesan yang mungkin menjejaskan visi itu dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pejabat Ekonomi Digital Wilayah Selatan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Menara IIB, di sini hari ini.
Mengulas kesan ketidaktentuan geopolitik susulan konflik Asia Barat, beliau berkata semua sektor dijangka terkesan, namun kerajaan sedang membuat persediaan bagi menghadapi sebarang implikasi.
Gobind berkata perbincangan berkaitan impak itu dilaksanakan secara berkala menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, melibatkan kementerian berkaitan, pemain industri serta pakar.
“Inilah platform kita untuk menilai apakah kesan yang akan dihadapi dan bagaimana kita dapat membuat persediaan supaya negara bersedia apabila berlaku sebarang cabaran,” katanya.
Pada November lepas, negara dilaporkan sedang memacu langkah untuk muncul sebagai Negara Al menjelang 2030 melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Al Kebangsaan yang menekankan pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur dan pelaburan mampan.
Gobind sebelum ini berkata tahun 2026 akan menjadi detik penting dalam usaha Kementerian Digital untuk melonjakkan Malaysia sebagai sebuah Negara Al.
Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan Pejabat Ekonomi Digital Wilayah Selatan di Iskandar Puteri adalah bagi memudahkan urusan industri, serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan sektor industri di wilayah selatan yang mencatat pertumbuhan pesat ekonomi digital.
Kolaborasi dengan pemain industri juga akan diberi tumpuan bagi mengenal pasti teknologi masa depan, serta menilai tahap kesiapsiagaan negara daripada aspek bakat, kepakaran dan pengalaman.
Beliau berkata persediaan awal perlu dilakukan bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam menghadapi perkembangan teknologi baharu dalam tempoh lima tahun akan datang.
-- BERNAMA