KUALA LUMPUR: Malaysia dan Nepal bersetuju memperkemas mekanisme pengambilan pekerja antara kedua-dua negara bagi memastikan proses lebih teratur, telus dan berintegriti, selain membendung amalan yang boleh mendorong kepada eksploitasi sumber tenaga kerja.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata komitmen itu dizahirkan semasa perbualan telefon beliau bersama Menteri Belia, Buruh dan Pekerjaan Nepal Ramjee Yadav, yang turut menyentuh hubungan dua hala dalam bidang buruh dan pekerjaan.
Menerusi hantaran di Facebook semalam, Ramanan berkata kedua-dua pihak menyedari kepentingan mewujudkan mekanisme pengambilan sumber tenaga kerja lebih teratur dan telus, serta menangani amalan yang boleh menyebabkan pekerja menanggung kos berlebihan atau terdedah kepada eksploitasi serta pihak perantara tidak bertanggungjawab.
“Malaysia kekal komited untuk memastikan pengurusan pekerja asing dilaksanakan berteraskan prinsip integriti, ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan pekerja, tanpa mengabaikan keperluan sebenar industri dan pasaran buruh negara.
“Dalam soal pekerja, prinsip kita jelas iaitu sistem yang dibangunkan mesti melindungi pekerja, memudahkan majikan dan pada masa sama menutup ruang kepada eksploitasi serta penyalahgunaan,” katanya.
Ramanan berkata Malaysia dan Nepal yang mempunyai hubungan diplomatik sejak 1960 bersetuju meneruskan komunikasi dan perbincangan melalui saluran dua hala bersesuaian bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang buruh dan pekerjaan demi kepentingan kedua-dua negara serta kebajikan pekerja.
Beliau turut menyampaikan takziah dan simpati kepada Kerajaan Nepal serta rakyat negara berkenaan susulan kehilangan nyawa dan kemusnahan akibat bencana banjir dahsyat bulan lepas.
Pada masa sama, katanya Kerajaan MADANI akan terus memberi perhatian serius terhadap nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana tersebut.
Menurut laporan media antarabangsa, angka kematian akibat bencana pada 26 Ogos di sempadan Nepal-China meningkat kepada lebih 1,450 orang, dengan lebih 6,000 lagi masih hilang di kedua-dua negara.
-- BERNAMA