KUALA LUMPUR : Malaysia mengikuti rapat perkembangan semasa di Tunisia termasuk penahanan beberapa individu utama, antaranya Rached Ghannouchi, pemimpin Ennahda dan mantan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Tunisia.

Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan memaklumkan, meskipun ia merupakan isu dalaman sesebuah negara, namun Malaysia ingin menzahirkan kebimbangan serta kegusaran terhadap perkembangan mutakhir politik di Tunisia.

"Melihat kepada tahap kesihatan dan umur beliau, kami berharap agar pertimbangan khas dan belas ihsan diberikan kepada Rached Ghannouchi di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Malaysia berharap perdamaian dan konsensus nasional akan menjadi jalan ke arah membawa kemajuan dan kemakmuran bagi rakyat Tunisia.

Beliau turut memaklumkan pihaknya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk Tunisia dan rakyatnya.