Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Malaysia perkukuh ketersambungan udara dengan UAE, GCC tingkat kedatangan pelancong

An Emirates Airlines Airbus A380 is parked at Cairo International Airport, Egypt, on Oct 17, 2024. (File photo: Reuters/Amr Abdallah Dalsh)
Antara pencapaian utama ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Malaysia dengan Emirates dan Qatar Airways bagi meningkatkan promosi pelancongan. - Gambar hiasan/Reuters
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang memperkukuh ketersambungan udara dan kerjasama dalam sektor pelancongan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dari Asia Barat.

Usaha itu dilakukan menerusi lawatan kerja rasmi Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Chua Choon Hwa ke Dubai dari 13 hingga 17 Sept lepas, dengan beliau mengadakan perbincangan bersama-sama syarikat penerbangan, agensi pelancongan serta pemain industri pelancongan.

Tourism Malaysia memaklumkan antara pencapaian utama ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Malaysia dengan Emirates dan Qatar Airways bagi meningkatkan promosi pelancongan serta memperluas kerjasama dalam pemasaran.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Dalam lawatan kerja itu, Chua turut mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat penerbangan lain termasuk Air Arabia, Gulf Air dan Etihad Airways, selain agensi pelancongan serta pemain industri pelancongan seperti Emirates Holidays, Sharaf Travel, Al Rais Travel dan Capital Travel (Tourism365).

Pertemuan itu turut menyentuh mengenai perkembangan terkini dan situasi serantau di Asia Barat yang menjejaskan sementara aktiviti penerbangan dan pelancongan di rantau berkenaan.

“Ketersambungan udara adalah asas penting dalam menjayakan usaha ini. Dengan menjalin kerjasama erat bersama-sama syarikat penerbangan terkemuka dan rakan strategik dalam industri pelancongan, kita akan menjadikan Malaysia lebih mudah diakses oleh pelancong dari UAE, GCC dan pasaran Asia Barat secara keseluruhan,” menurut Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Dubai dan Abu Dhabi merupakan hab penerbangan antarabangsa yang penting, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada Malaysia untuk menembusi pasaran Afrika dan Eropah.

Tourism Malaysia memaklumkan Malaysia telah menerima kehadiran 30,257 pelawat dari rantau GCC dari Januari hingga Jun lepas, sekali gus mencerminkan potensi pasaran berkenaan dalam segmen percutian keluarga, pelancongan mewah, pelancongan mesra Muslim, beli-belah, kesihatan dan kesejahteraan, gastronomi, alam semula jadi serta pelancongan berasaskan pengalaman.

Inisiatif berkenaan sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 yang bermatlamat meningkatkan jumlah ketibaan pelancong antarabangsa termasuk dari UAE, GCC dan pasaran Asia Barat secara lebih meluas.

“Tourism Malaysia akan terus memanfaatkan kerjasama dan inisiatif bersama-sama rakan strategik industri bagi memacu pertumbuhan berterusan dari UAE dan rantau GCC,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement