MALAYSIA
Malaysia perlu bina keupayaan teknologi dalaman - PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2025 hari ini. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada teknologi asing sebaliknya perlu membina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan bagi melindungi maklumat terperingkat dan aset strategik negara.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan Malaysia perlu bina keupayaan dalaman termasuk pengkomputeran awan dan AI untuk lindungi aset strategik negara.
- Kerajaan akan bentang RUU Jenayah Siber hujung tahun ini serta terus perkukuh kerjasama antara kerajaan, swasta dan antarabangsa.
- MyDigital ID kini catat 25,000 pendaftaran sehari, sementara Malaysia bakal tandatangan Konvensyen PBB mengenai jenayah siber di Vietnam.
"Dari segi perundangan, Rang Undang-Undang Jenayah Siber akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini," katanya dalam hantaran Facebook malam ini.
Anwar berkata setiap individu turut memainkan peranan melindungi data peribadi apabila berurusan dalam talian antaranya menerusi penggunaan MyDigital ID, yang pendaftarannya kini mencatat purata 25,000 pengguna sehari hasil integrasi dengan aplikasi seperti MyJPJ, MySejahtera, MyBayar PDRM dan MyGOV.
"Komitmen Malaysia turut dizahirkan di peringkat global. Dalam masa terdekat, kita akan menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai jenayah siber di Hanoi, Vietnam, sebagai bukti kesungguhan memperkukuh kerjasama antarabangsa menentang jenayah digital," katanya.
Beliau berkata mesyuarat juga menegaskan kepentingan pembangunan teknologi kriptografi pascakuantum (PQC) bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), penyelidik dan industri.
Perdana Menteri berkata usaha ini dapat memperkukuh perlindungan infrastruktur kritikal, membendung jenayah siber dan memastikan kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat terus terjamin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami