SHANGHAI: Malaysia perlu memastikan pembangunan bakat berkemahiran tinggi bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan pertumbuhan industri, khususnya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara bukan sahaja perlu menarik pelaburan dan memperoleh teknologi baharu, malah mesti mempunyai tenaga kerja yang mampu mengendalikan serta menambah baik teknologi berkenaan.
Menurutnya, perkara itu penting ketika Malaysia menyasarkan RM500 bilion pelaburan dalam sektor semikonduktor menjelang 2030, selain melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera tempatan berkemahiran tinggi.
“Sesebuah negara boleh menarik modal, ia boleh memperoleh teknologi, tetapi masih memerlukan manusia yang tahu bagaimana untuk menjadikan teknologi itu berfungsi dan menjadikannya lebih baik.
“Setiap industri baharu perlu dipelajari sebelum ia boleh dibangunkan,” katanya ketika berucap pada satu acara berkaitan pembangunan kemahiran di sempena WorldSkills Conference 2026 di Shanghai, China.
Tambahannya pengalaman Shanghai yang berubah daripada industri tekstil kepada sektor berteknologi tinggi termasuk semikonduktor dan AI membuktikan pembangunan industri memerlukan proses pembelajaran serta pembinaan kemahiran secara berterusan.
Dalam konteks Malaysia, katanya, pendekatan itu diterjemahkan menerusi agenda TVET 2.0 yang bertujuan mendekatkan institusi latihan dengan keperluan sebenar industri.
Katanya, institusi TVET juga perlu bergerak lebih pantas dalam bidang yang menjadi pemacu ekonomi masa depan termasuk AI, semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui.
“Industri tahu peralatan yang mereka gunakan dan sejauh mana keperluan mereka berubah. Mereka perlu menjadi rakan kongsi dalam membentuk bakat sejak dari awal dan memastikan latihan yang diberikan sentiasa mendahului keperluan industri,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama Malaysia-China dalam bidang TVET, yang telah dijalinkan sejak 2013, termasuk menerusi program latihan kemahiran belia Malaysia-China.
Sementara itu, Malaysia turut diberi kepercayaan menerajui agenda pekerjaan hijau ASEAN selepas negara itu dipilih untuk memimpin agenda berkenaan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Plus Tiga di Bangkok, bulan lalu.
Ia termasuk usaha menyediakan tenaga kerja untuk ekonomi hijau serta memperkukuh pengiktirafan rentas sempadan terhadap sijil kemahiran teknikal menerusi perintis ASEAN Digital Skills Passport.
“Ekonomi moden tidak boleh berfungsi tanpa juruteknik yang memastikan barisan pengeluaran semikonduktor berjalan atau kilang kenderaan elektrik beroperasi mengikut jadual.
“Jentera mungkin menjadi lebih canggih dan perisian mungkin lebih pintar, tetapi seseorang masih perlu memahami cara ia berfungsi dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila ia tidak berfungsi,” katanya lagi.