KAZAN: Malaysia perlu bergerak lebih agresif dan berani dalam memperkukuh hubungan ekonomi dengan Rusia serta negara lain yang berpotensi memberikan manfaat kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada media Malaysia pada sidang media penutup susulan berakhirnya lawatan kerja dua hari ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di sini pada Khamis, beliau berkata Malaysia tidak boleh terus terikat dengan pendekatan lama yang terlalu berhati-hati dalam hubungan antarabangsa.
“Saya lihat (dalam) beberapa bidang, kita harus lebih ke depan, lebih agresif, lebih berani, walaupun ada beberapa pertimbangan geopolitik yang kita terlalu berhati-hati sebelum ini.
"(Ini) Kerana kalau perlahan, kita ketinggalan. Ini yang sangat membimbangkan," katanya.
Beliau berkata walaupun Malaysia mendapat pengiktirafan dan penghormatan pada peringkat antarabangsa, langkah seterusnya adalah memastikan hubungan itu diterjemahkan kepada manfaat ekonomi, perdagangan dan pelaburan untuk rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara bidang yang perlu diberi perhatian adalah kerjasama tenaga termasuk bekalan minyak dari Rusia.
"Soal minyak dari Rusia, itu soal yang sangat penting, dan hubungan kita dengan Rusia sangat baik.. tetapi kita agak terlalu berhati-hati dalam membawa isu ini secara agak tegas. Ini yang saya sebut kita perlu lakukan," katanya.
Beliau berkata Malaysia juga perlu mengkaji semula pendekatan hubungan dengan beberapa negara termasuk Myanmar, Afghanistan dan Iran.
Anwar juga berkata pertemuan dengan pemimpin dan pelabur dalam Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia serta sesi bersama Majlis Kerjasama Shanghai serta Suruhanjaya Ekonomi Eurasia menunjukkan terdapat beberapa kekurangan yang perlu ditangani secara lebih agresif.
Pengalaman Rusia membangunkan sektor pertanian moden selepas menghadapi sekatan Barat juga wajar diteliti Malaysia, kata beliau.
Beliau berkata Rusia berjaya mengurangkan kebergantungan kepada import dalam tempoh kira-kira setahun setengah hasil komitmen terhadap teknologi dan pemodenan pertanian.
"Ini sepatutnya diteliti oleh wakil daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama-sama mungkin dengan Kementerian Ekonomi, (cara untuk) kita boleh buat beberapa penyesuaian, selain daripada perbincangan soal industri, pelaburan, malah juga dalam pertanian moden," kata beliau.
Dalam bidang pendidikan pula, Anwar berkata beliau telah berbincang dengan Presiden Rusia Vladimir Putin mengenai penambahan peluang pendidikan di Rusia untuk pelajar Malaysia.
Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira 500 pelajar Malaysia di Rusia dalam bidang sains perubatan dan pengajian lain.
"Pertama, beliau beri ruang untuk menambah jumlah pelajar termasuk biasiswa. Kedua, kita juga mahu mengenal pasti, umpamanya, bidang angkasa, kecerdasan buatan, digital dan beberapa bidang baru, ya. Itu yang harus kita beri keutamaan," katanya.
Anwar berkata beliau menerima sambutan yang amat baik daripada Presiden Uzbekistan ketika singgah di Tashkent dan mengadakan perbincangan mengenai kerjasama tenaga, pendidikan, teknologi maklumat dan digital.
Beliau berkata beberapa negara Asia Tengah termasuk Uzbekistan, Turkmenistan dan Kazakhstan kini mempunyai kekuatan ekonomi yang jauh lebih besar berbanding dahulu dan wajar diberi perhatian oleh Malaysia dalam usaha memperluas kerjasama antarabangsa.
-- BERNAMA