Skip to main content

Dunia

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49: Malaysia cadang Dana Jerebu Mampan, perkukuh Diplomasi Sains

Mohamad (foto) berkata kedua-dua inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama saintifik, menyediakan pembiayaan mampan serta meningkatkan keupayaan negara anggota ASEAN melaksanakan tindakan secara kolektif bagi menangani isu jerebu. -Gambar ASEAN 2026
Mohamad (foto) berkata kedua-dua inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama saintifik, menyediakan pembiayaan mampan serta meningkatkan keupayaan negara anggota ASEAN melaksanakan tindakan secara kolektif bagi menangani isu jerebu. -Gambar ASEAN 2026
Advertisement

MANILA: Malaysia mencadangkan penubuhan Dana Jerebu Mampan serta memperkukuh pendekatan Diplomasi Sains bagi meningkatkan kerjasama serantau dalam menangani pencemaran jerebu rentas sempadan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kedua-dua inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama saintifik, menyediakan pembiayaan mampan serta meningkatkan keupayaan negara anggota ASEAN melaksanakan tindakan secara kolektif bagi menangani isu jerebu.

"Kita juga menggesa ASEAN memperkukuh tindak balas serantau yang lebih proaktif dan terselaras susulan kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera, Indonesia, yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan di beberapa kawasan rantau ini," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Malaysia menghargai usaha Indonesia mengawal kebakaran berkenaan selain memahami kerumitan operasi pemadaman yang berdepan cabaran fenomena El Niño, cuaca tidak menentu serta lokasi kawasan terjejas yang terpencil.

Advertisement

"Bagaimanapun, kemerosotan kualiti udara sehingga mencapai tahap tidak sihat dan berbahaya di beberapa kawasan menimbulkan risiko terhadap kesihatan awam, mata pencarian penduduk serta aktiviti harian, khususnya golongan rentan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan pelaksanaan berkesan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) sebagai asas kepada tindakan bersama negara anggota.

"Kita turut menggesa negara anggota ASEAN mempercepat proses ratifikasi penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC), selain menekankan kepentingan pengoperasian awal pusat berkenaan bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas serantau," katanya.

Beliau berharap perkara itu dapat dimajukan pada Persidangan Negara-Negara Pihak Ke-21 (COP-21) Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) yang dijadual berlangsung pada Disember ini.

Must Watch Video

Advertisement