Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu tumpu segmen teknologi angkasa 'niche', bernilai tinggi - MYSA

61604379528_AzlikamilNapiah.jpg
Azlikamil berkata kerjasama antarabangsa penting kerana teknologi angkasa berkembang terlalu pantas untuk sesebuah negara membangunkan keseluruhan keupayaannya secara bersendirian. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Malaysia perlu menumpukan kepada pembangunan teknologi, komponen dan perkhidmatan bernilai tinggi bagi memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan ekonomi angkasa global untuk meraih manfaat ekonomi sektor itu.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Datuk Azlikamil Napiah berkata tumpuan itu lebih strategik memandangkan pembangunan teknologi angkasa memerlukan pelaburan besar, berisiko tinggi dan berkembang dengan pantas.

Katanya, Kajian Keupayaan Industri Angkasa Negara sehingga 2023 telah mengenal pasti kira-kira 79 syarikat tempatan terlibat dalam aktiviti berkaitan teknologi angkasa yang menyumbang sekurang-kurangnya RM6.21 bilion kepada ekonomi negara.

“Nilai itu disasarkan meningkat kepada RM10 bilion serta mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2030.

"Kita tidak perlu pergi ke Marikh. Kita juga tidak perlu pergi ke Bulan kalau ia tidak mendatangkan nilai kepada ekonomi kita. Kita mahu ambil apa yang terbaik dan bermanfaat kepada negara," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai asas kukuh untuk membangunkan industri angkasa menerusi kekuatan sektor elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa serta sektor hiliran angkasa yang dibangunkan sejak negara mula memanfaatkan teknologi angkasa pada 1988.

"Teknologi angkasa memang mahal. Kita mungkin tidak mempunyai dana sebesar negara lain, jadi kita perlu pelaksanaan yang strategik dan selektif. Kita pilih mana yang perlu dibangunkan dan mana yang boleh membawa nilai ekonomi kepada negara," katanya.

 

Beralih daripada pengguna kepada pencipta

 

Azlikamil berkata Malaysia memulakan pembangunan sektor angkasa menerusi aktiviti hiliran yang memenuhi keperluan pengguna, termasuk penggunaan data satelit bagi pertanian, pengurusan bencana, keselamatan, sumber asli dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan negara membina asas pengguna yang kukuh sebelum memperluaskan penguasaan kepada aktiviti pertengahan dan huluan termasuk pembangunan teknologi, pembuatan serta pengoperasian satelit.

"Sektor angkasa hiliran kita sudah sangat kuat. Sekarang kita mahu melengkapkan keseluruhan ekosistem dengan aktiviti huluan pula. Kita tidak mahu hanya menjadi pengguna selamanya. Kita mahu bergerak menjadi pencipta dan penyedia perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata Malaysia turut memiliki kemudahan pemasangan, integrasi dan pengujian satelit di Banting, antara yang terbesar di Asia Tenggara, selain stesen penerimaan bumi yang membolehkan data satelit diterima dan diproses secara terus sebelum digunakan bagi pelbagai aplikasi.

 

Kedaulatan teknologi perlu diperkukuh

 

Dalam usaha memperkukuh kedaulatan teknologi negara, beliau berkata Malaysia merancang melaksanakan Projek Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Negara (PSPJN) menerusi kerjasama awam-swasta (PPP), dengan pelancaran satelit disasarkan pada penghujung 2028 atau 2029.

"Kita tidak boleh bergantung kepada teknologi luar selama-lamanya. Sampai satu peringkat, walaupun kita ada duit, belum tentu sesuatu teknologi itu akan dijual kepada kita.. oleh yang demikian, kita perlu membina kapasiti dan keupayaan sendiri, serta pada masa sama menjamin kedaulatan teknologi negara," katanya.

Beliau berkata pembangunan industri angkasa perlu dipacu menerusi penyertaan lebih besar sektor swasta melalui model PPP, Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), pelaburan dan co-creation (penciptaan bersama) bersama rakan antarabangsa bagi mengurangkan kos pembangunan teknologi serta mempercepat penguasaan teknologi tempatan.

"Kita tidak mahu sekadar membeli barang. Kita mahu pelabur datang ke Malaysia, bekerjasama dengan pemain industri tempatan, menghasilkan sesuatu dan kemudian pulangannya boleh dinikmati bersama-sama," katanya.

 

Kerjasama global jadi pemangkin

 

Azlikamil berkata kerjasama antarabangsa penting kerana teknologi angkasa berkembang terlalu pantas untuk sesebuah negara membangunkan keseluruhan keupayaannya secara bersendirian.

Beliau berkata Malaysia kini mempergiat kerjasama dengan Jepun dan China, selain merancang memperluaskan kolaborasi ke beberapa negara lain termasuk Itali dan Perancis.

Bagaimanapun, katanya, teknologi tertentu khususnya yang mempunyai kegunaan dwifungsi melibatkan aspek komersial, keselamatan dan kedaulatan perlu dibangunkan sendiri kerana akses kepada teknologi sensitif itu tidak semestinya terbuka kepada semua negara.

Beliau berkata sasaran seterusnya ialah menjadikan syarikat tempatan sebagai pembekal teknologi dan perkhidmatan angkasa ke pasaran Asia Tenggara serta global.

Katanya, Malaysia kini berada dalam kelompok tiga teratas ekosistem angkasa ASEAN dan menyasarkan kedudukan nombor satu menjelang 2030.

"Kita mahu industri tempatan bukan sahaja dapat menyediakan perkhidmatan untuk Malaysia tetapi juga rantau Asia Tenggara, sama ada dalam aktiviti hiliran, pertengahan atau huluan.

“Permintaan berkaitan teknologi angkasa kita sudah tinggi. Yang perlu kita lakukan sekarang ialah melengkapkan jurang keupayaan sektor angkasa huluan," katanya.

Beliau berkata permintaan terhadap teknologi angkasa terus meningkat, khususnya bagi menangani cabaran seperti bencana alam, keselamatan makanan, perubahan iklim, pengurusan sumber asli dan keselamatan perairan.

Azlikamil berkata kejayaan sektor angkasa bukan diukur melalui penghantaran manusia ke angkasa semata-mata, tetapi sejauh mana teknologi yang dibangunkan memberi nilai tambah kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement