KUALA LUMPUR: Malaysia mesti memberi keutamaan untuk mewujudkan jaminan pendapatan pada usia tua bagi melindungi rakyat daripada kemiskinan pada usia warga emas ketika negara berhadapan dengan penduduk semakin menua.
Pegawai Penyelidik Kanan di Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM) Chai Sen Tyng berkata, reformasi sistem pencen penting bagi memastikan warga emas dapat mengekalkan kebebasan kewangan dan menjalani kehidupan dengan bermaruah.
“Saya tidak semestinya mengatakan kita perlu mempunyai pencen sosial, tetapi saya fikir kita perlu mempunyai naratif awam tentang bagaimana kita boleh mereformasi sistem pencen, terutamanya bagi seseorang yang telah bekerja sepanjang hayat mereka.
“Akan ada sejumlah wang tersedia untuk mereka, tidak kira sama ada ia jumlah asas minimum atau paling minimum supaya mereka tidak perlu bimbang,” katanya pada program The Nation terbitan Bernama TV sempena mempromosikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2026) hari ini.
Chai berkata Malaysia sedang mengalami penuaan penduduk yang didorong oleh penurunan kadar kesuburan dan peningkatan jangka hayat.
Selain itu, beliau berkata struktur kehidupan tradisional seperti belajar, bekerja dan bersara sedang berkembang, mewujudkan “golongan usia ketiga” yang merujuk kepada individu yang telah bersara daripada pekerjaan utama mereka tetapi kekal sihat serta berkeupayaan untuk menyumbang kepada ekonomi.
Bagi menyesuaikan diri dengan peralihan itu, Chai mencadangkan penyelarasan dasar berstruktur termasuk peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran untuk pekerja berusia serta pelaksanaan model pengambilan semula pekerja secara berfasa seperti yang diamalkan di negara seperti Singapura dan Jepun.
Menyentuh ekosistem penjagaan jangka panjang yang lebih luas, Chai berkata Malaysia perlu membezakan antara penjagaan perubatan dengan penjagaan jangka panjang yang membantu warga emas hidup berdikari dengan sebaik mungkin tanpa perlu bergantung pada penjagaan di institusi atau orang lain.
Beliau berkata walaupun pasaran mula meneroka perkhidmatan seperti pusat jagaan harian warga emas dan pusat jagaan demensia, perkhidmatan seperti itu memerlukan kawal selia dan sokongan kewangan bagi memastikan ia boleh diakses serta mampu dibiayai.
“Kita memang memerlukan undang-undang untuk melindungi warga emas daripada penderaan dan pengabaian. Kita juga memerlukan struktur untuk mempromosikan penjagaan jangka panjang serta reformasi pencen.
“Ini persoalan yang amat sukar untuk ditangani dalam tempoh singkat, tetapi kita mesti mengambil langkah pertama,” katanya.
Topik itu antara isu akan diketengahkan pada ISWC 2026 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berlangsung dua hari bermula 29 Sept di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.
-- BERNAMA