KUALA LUMPUR: Malaysia memuji inisiatif diambil Kerajaan Arab Saudi dalam mengakhiri konflik di Yaman sekaligus memulakan semula proses politik di negara itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu berkata inisiatif terbabit adalah sangat signifikan bagi Yaman.

Justeru Malaysia menyeru pihak-pihak yang berkaitan agar merebut peluang keemasan itu dalam menjalankan pelbagai inisiatif tanpa prasyarat demi membangunkan semula Yaman.

"Ia termasuk gencatan senjata di seluruh negara, pembukaan semula lapangan terbang Sana'a, kemasukan semula bahan bakar, minyak serta komoditi lain di negara itu menerusi Pelabuhan Hudaydah.

"Serta rundingan politik yang komprehensif diantara Yaman dan pihak-pihak berkaitan," jelas kenyataan itu.

Malaysia percaya bahawa satu-satunya jalan keluar daripada konflik di Yaman adalah dengan memastikan penyelesaian politik yang inklusif dan dirundingkan. 

Malah Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Arab Saudi serta komuniti antarabangsa demi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan berkekalan di Yaman.

Konflik Yaman | Arab Saudi tawar gencatan senjata kepada Houthi