RIYADH: Industri masakan Malaysia mencapai prestasi cemerlang apabila berjaya membawa pulang tiga anugerah daripada 11 pencalonan di anugerah buku, Gourmand World Cookbook Awards 2023.

Antaranya Moringalicious oleh Mohana Gill; The Durian Cookbook oleh Masters of Malaysian Cuisine; The Best of Chef Wan 2; Comfort Food oleh Anis Nabilah; Ensak Ey Nak; Kuching Creative City of Gastronomy; Halal Food Certification and Business Performance dan Peita Nukanen oleh Datin Nikki Legun.

Anugerah ini merupakan sebahagian daripada Festival Makanan Pesta Saudi, sebuah acara masakan terbesar di timur tengah, yang diadakan di Riyadh, Arab Saudi pada 27 hingga 29 November lalu.

Senarai buku yang meraih anugerah tersebut ialah Johor Palate, Resipi Tanjung Puteri (kategori Warisan Makanan); Resipi Untuk Berkongsi (kategori Mudah), dan Kulit Manis, Rasa Terengganu (kategori Buku Masakan Serantau).

Penulis buku yang memenangi dua anugerah, iaitu kategori Warisan Makanan dan kategori Mudah, Datin Kalsom Taib berkata, ia merupakan momen yang tidak boleh dilupakan beliau.

Gourmand World Cookbook Awards dihadiri oleh peminat industri masakan dari lebih 50 negara.

Duta Malaysia di Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah bersama isteri, Datin Zuhaila Abd. Latif, antara yang hadir pada majlis anugerah berikut.

Beliau menyatakan penghargaan dan rasa bangga terhadap karya-karya penulis dan penerbit Malaysia yang telah meningkatkan reputasi masakan Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri masakan dan penerbitan global.

“Selain itu, ia sebagai pengiktirafan terhadap kualiti masakan sekali gus mewujudkan kepelbagaian budaya masakan di Malaysia,” tambahnya.

Dimulakan pada 1995 oleh Edouard Cointreau dengan penyertaan 205 negara, Gourmand Awards merupakan satu-satunya pertandingan antarabangsa untuk kandungan budaya makanan.

Setiap tahun, mereka menganugerahkan buku terbaik, sama ada yang dicetak, dimuat naik secara digital, mahupun disiar di program televisyen.

Pada 2006, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Gourmand Awards menerusi penganjuran yang diadakan di Kuala Lumpur.