KUALA LUMPUR: Malaysia dan Rusia akan memperkukuh persefahaman serta hubungan dua hala menerusi peningkatan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan kesenian.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata delegasi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengadakan perbincangan dengan Menteri Kebudayaan Rusia Olga Borisovna Lyubimova semasa Forum International United Cultures di St. Petersburg.
"Saya menyatakan penghargaan Malaysia atas penglibatan berterusan Rusia, termasuk Minggu Filem Rusia yang diadakan bersempena dengan Festival Filem Antarabangsa Malaysia kesembilan.
"Pada Mei lepas, pelajar dari Moscow State Tchaikovsky Conservatory turut membuat persembahan sebagai sebahagian daripada projek kebudayaan "Rising Stars" semasa lawatan mereka ke Malaysia," katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.
Tiong berkata inisiatif berkenaan dan peluang untuk pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Rusia telah menyumbang kepada pengukuhan persefahaman dan hubungan yang lebih erat antara kedua-dua negara.
"Kami juga menantikan pemuktamadan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan, susulan cadangan balas Malaysia yang dikemukakan pada Ogos 2026," katanya.
MoU itu akan menyediakan kerangka kerjasama yang lebih erat antara institusi kebudayaan, penggiat dan usahawan, termasuk menerusi penganjuran program kebudayaan, pertukaran profesional, penglibatan pelajar serta kerjasama dalam bidang pelancongan kebudayaan dan ekonomi kreatif.
Tiong berkata Malaysia turut mengalu-alukan lebih banyak peluang untuk pelajar Rusia mengenali kekayaan warisan kebudayaan negara ini, manakala kerjasama berterusan dalam bidang kebudayaan dan kesenian akan mempererat hubungan dan persefahaman kedua-dua pihak.
"Memupuk persefahaman yang lebih mendalam mengenai kebudayaan antara satu sama lain juga penting dalam membina perkongsian yang berdaya tahan dan strategik antara Malaysia dan Rusia.
"Kebudayaan menjadi penghubung yang mendekatkan rakyat kedua-dua negara, memperkukuh sikap saling menghormati dan membuka ruang kepada kerjasama mampan dalam pelbagai bidang.
"Dengan meneruskan perkongsian idea dan bakat, kita dapat mewujudkan platform yang dinamik untuk inovasi dan pertumbuhan bersama, sekali gus menyumbang kepada persahabatan dan kemakmuran yang berkekalan," katanya.
-- BERNAMA