Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Rusia perkukuh kerjasama strategik penyelidikan, perdagangan dua hala - Zambry

delegasi Malaysia ke Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Ke-5 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Ogos 2026. -- FB Zambry Abd Kadir
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata perbincangan itu turut akan merangkumi usaha memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi, di samping meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara. - Foto Facebook Zambry Abd Kadir
Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha memperluas perdagangan dan pelaburan dua hala serta meneroka peluang kerjasama dalam sektor strategik dan teknologi baharu antara perkara penting yang akan diangkat dalam Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Budaya (JC-ESTC) Kelima di Vladivostok, Rusia.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata perbincangan itu turut akan merangkumi usaha memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi, di samping meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

“Dalam bidang pendidikan tinggi khususnya, Malaysia akan memberikan perhatian kepada usaha memperluas mobiliti pelajar dan akademik, penyelidikan bersama, kerjasama universiti-ke-universiti serta pembangunan bakat dalam bidang sains, teknologi dan bidang-bidang strategik masa hadapan.

“Mesyuarat ini juga akan menjadi ruang untuk kedua-dua negara menilai kemajuan terhadap perkara yang telah dipersetujui sebelum ini, mengenal pasti cabaran yang perlu diselesaikan serta menetapkan bidang keutamaan baharu yang boleh dilaksanakan secara bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat yang berlangsung mulai esok hingga Sabtu ini berkata ketibaannya di Vladivostok disambut oleh Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia Konstantin Mogilevsky.

Zambry berkata beliau dijadual mempengerusikan mesyuarat itu bersama Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Rusia Valery Falkov.

Katanya, mesyuarat kali ini turut melibatkan wakil daripada 17 kementerian dan agensi berkaitan yang mencerminkan keluasan skop serta kepentingan hubungan dua hala merangkumi bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, tenaga, sains dan teknologi, pendidikan tinggi, pertanian serta kerjasama sosial dan kebudayaan.

Mengenai peranan JC-ESTC yang ditubuhkan pada 2015, Zambry berkata Malaysia mahu platform berkenaan berorientasikan tindakan dan hasil yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat serta ekonomi kedua-dua negara.

“Hubungan baik antara kedua-dua negara perlu diterjemahkan kepada projek, pelaburan, pertukaran kepakaran, pembangunan teknologi dan peluang baharu.

“Malaysia dan Rusia mempunyai kekuatan yang boleh saling melengkapi, khususnya dalam bidang sains, teknologi, tenaga, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan. Terdapat ruang luas untuk kedua-dua negara meningkatkan lagi tahap kerjasama berdasarkan kepentingan bersama dan prinsip saling menghormati,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Zambry berharap mesyuarat berkenaan dapat membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik kedua-dua negara serta menghasilkan beberapa kesepakatan dan langkah susulan yang konkrit.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement