Malaysia mensasarkan untuk memenangi Hadiah Nobel hasil karya tokoh akademik, sarjana dan karyawan dalam tempoh kurang 50 tahun akan datang, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, perkara itu mampu dicapai jika individu yang terlibat mampu mencipta kejayaan sehingga ke peringkat global.

"Untuk berada di peringkat antarabangsa, kita mahu ada Nobel Prize Winner dari Malaysia dan ketika itu kemerdekaan 100 tahun kita akan melihat adanya hasil-hasil penyelidikan dari saintis, ahli kaji kehutanan, atau lagu-lagu yang telah diantarabangsakan dan bukan hanya sekadar didendangkan di Royal Albert Hall.

"Ketika itu kita sebagai rakyat Malaysia apabila kita mengurangkan perbedaan ideologi, maka rasa kukuh akar tunjang kita, kita akan berada di bawah kesejagatan kita," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Apresiasi Tokoh-tokoh Sarjana Penerima Anugerah Buku Negara 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau mencabar tokoh-tokoh yang terlibat agar menyahut seruan kerajaan dalam usaha mencipta kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia.

"Oleh itu, saya mencabar para karyawan dalam bidang penulisan fiksyen untuk melangkah lebih jauh lagi dengan kerjasama pihak penerbit, pengeluar filem untuk kita berada di peringkat antarabangsa dan pada 2057 nanti ada novelis-novelis kita yang menghasilkan karya-karya fiksyen atau para sarjana yang menghasilkan buku-buku berdasarkan kepada imperical dan kaji selidik," tegas beliau.

Ketika ini katanya, karya-karya yang dihasilkan anak tempatan perlu diberi perhatian dan diangkat ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya mohon tokoh-tokoh untuk berada di hadapan dan saya akan menyokong di belakang bagi membantu meningkatkan Malaysia untuk berada di peringkat atas," tambahnya.