KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk menyambut kehadiran pempamer, delegasi dan tetamu kehormat dari seluruh dunia ke Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata DSA dan NATSEC Asia 2026 bukan sekadar pameran yang memaparkan teknologi pertahanan dan keselamatan paling maju dan terkini dari seluruh dunia, tetapi juga menjadi platform strategik yang berfungsi sebagai ruang neutral untuk negara memperkukuh hubungan melalui diplomasi pertahanan dan penglibatan yang konstruktif.
Advertisement
“Ia turut menampilkan forum peringkat tinggi yang menghimpunkan kerajaan, pemimpin industri dan komuniti pertahanan untuk memajukan kerjasama dan berkongsi keutamaan keselamatan sambil mewujudkan peluang kepada pemain industri tempatan meningkatkan keupayaan melalui perkongsian, inovasi dan pendedahan pasaran global.
“Saya mengalu-alukan kehadiran semua pihak dan mendoakan semua peserta memperoleh sesi yang bermanfaat serta pengalaman yang baik sepanjang DSA dan NATSEC Asia 2026,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled berkata sebanyak 368 syarikat Malaysia terlibat dalam segmen baharu, iaitu pavilion Gabungan Industri Pertahanan Malaysia yang mempamerkan pelbagai produk dan keupayaan masing-masing.
Pameran bertema “Memperkasakan Keupayaan dan Ketahanan Menerusi Teknologi” itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Acara itu berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini dari esok hingga Khamis.
-- BERNAMA