KUALA LUMPUR: Tempoh 2022 disifatkan ramai sebagai tahun lembaran baharu bagi Malaysia, apabila berada dalam peringkat peralihan pandemik COVID-19 ke endemik yang diumumkan pada 1 April lepas, setelah dua tahun bergelut dengan 'pembunuh senyap' itu.

Walaupun dunia belum diisytiharkan dalam fasa endemik, seperti negara lain, Malaysia juga tidak terkecuali dengan mengambil keputusan untuk melonggarkan sekatan berkaitan wabak itu.

Meskipun masih terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi bagi mengekang penularan wabak berkenaan, peralihan itu menyaksikan pelbagai kelonggaran dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun ini.

Antara kelonggaran yang diumumkan ialah membuka semula pintu sempadan negara, tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka secara berperingkat serta mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera apabila masuk ke premis.

Berkuat kuasa 1 Mei lepas, kerajaan turut menetapkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi adalah atas pilihan individu, diikuti pengumuman tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan pada 7 Sept.

Kerajaan kemudiannya mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang bermula 28 Sept lepas berbanding keputusan mewajibkannya di dalam pengangkutan awam udara itu bermula 1 Ogos 2020.

Peralihan itu juga menyaksikan kehidupan rakyat 'kembali' kepada keadaan asal, sebelum penularan pandemik, namun rata-rata masyarakat hingga kini tetap mengamalkan kawalan kendiri termasuk masih memakai pelitup muka yang dilihat menjadi norma baharu sejak wabak itu membadai dunia pada 2020.

Pada pilihan raya kecil (PRK) dan negeri (PRN) sebelum ini, beberapa SOP khas diperkenalkan bagi pesakit COVID-19 keluar mengundi termasuk menyediakan bilik atau laluan khas kepada mereka, namun Pilihan Raya Umum ke-15 November lepas, kerajaan memutuskan tiada laluan khas disediakan.

Pengundi yang positif COVID-19 hanya diwajibkan memakai pelitup muka selain memaklumkan kepada petugas pilihan raya di pusat-pusat mengundi mengenai status kesihatan mereka.

Selain itu, tempoh kuarantin bagi pesakit COVID-19 selama tujuh hari boleh dikurangkan kepada empat hari jika keputusan ujian wabak didapati negatif pada hari keempat, malah prosedur kuarantin bagi individu kontak rapat COVID-19 juga dimansuhkan.

Dalam meniti fasa peralihan itu, usaha kerajaan membendung penularan COVID-19 tidak terhenti, malah langkah utama perlindungan menerusi pemberian vaksin serta dos penggalak masih diteruskan dan percuma, kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media secara maya dari Geneva, Switzerland pada 14 Sept lepas dilaporkan berkata pandemik COVID-19 yang berlarutan sejak Januari 2020 semakin menghampiri garisan penamat.

Bagaimanapun, Malaysia dilaporkan berdepan gelombang kecil peningkatan kes COVID-19 susulan penemuan subvarian Omicron XBB di negara ini pada 31 Okt.

Setakat 22 Dis tahun ini, Malaysia merekodkan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 5,0121,242 kes sejak pandemik itu mula melanda negara manakala sepanjang tahun ini, jumlah kes COVID-19 mencatatkan bilangan tertinggi pada 5 Mac dengan 33,406 kes.

-- BERNAMA