MALAYSIA
Malaysia seru hubungan Kumpulan The Hague, UNSC diperkukuh untuk sekatan ke atas Israel

Mohamad menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan Hague mengenai Palestin, yang diadakan di sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-80 pada Jumaat. - Gambar Bernama
NEW YORK: Malaysia, antara negara pengasas Kumpulan The Hague menggesa libat urus yang lebih erat dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi mendesak pelaksanaan embargo senjata dan sekatan ke atas Israel.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu penting untuk mendorong majlis menggunakan mandatnya di bawah Bab Tujuh Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, ia adalah antara beberapa pendekatan untuk memperkukuh usaha kumpulan itu dalam mengasingkan dan memberi tekanan terhadap Israel supaya menghentikan perang genosid di Gaza.
"Kumpulan The Hague mesti mengumpulkan semua negara yang cintakan keamanan dan menyeru mereka untuk mengenakan embargo senjata yang menyeluruh ke atas Israel, termasuk penggantungan semua perjanjian sedia ada bagi membekalkan barangan ketenteraan dan barangan dwi-guna, seperti teknologi dan jentera berat awam."Dengan berbuat demikian, kita dapat menahan alat-alat genosid daripada sebuah negara yang bertekad untuk melakukannya," katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Mesyuarat Peringkat Menteri Kumpulan The Hague mengenai Palestin yang diadakan di luar sidang Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), di sini, pada Jumaat.
Mohamad turut menekankan kepentingan menjalin kerjasama lebih erat dengan kumpulan lain yang memperjuangkan hak rakyat Palestin, seperti Jawatankuasa Mengenai Pelaksanaan Hak yang Tidak Terpisah Penduduk Palestin serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sambil memaklumkan bahawa banyak negara anggota PBB kini telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, beliau menggesa kumpulan itu untuk merebut momentum global yang semakin meningkat bagi menggembleng usaha dan memperhebat gesaan menamatkan ketidakadilan yang lama ditanggung rakyat Palestin.
"Keadaan menjadi sangat terdesak bagi penduduk yang tinggal di Gaza akibat sekatan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel.
"Jika mereka tidak dibunuh dengan peluru atau bom, mereka dibunuh melalui kebuluran. Kekurangan zat makanan akut semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak. Sementara itu di Tebing Barat, perluasan penempatan haram berterusan tanpa henti, termasuk dengan pengumuman rancangan untuk pengilhakan sepenuhnya," katanya.
Beliau turut mengulangi komitmen Malaysia untuk menyertai serta menyokong usaha bersama Kumpulan The Hague dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap laporan terbaharu oleh Pelapor Khas PBB mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Palestin yang menonjolkan peranan beberapa syarikat multinasional dalam memudahkan pendudukan haram Israel di tanah Palestin.
"Kami menggesa masyarakat antarabangsa memberi perhatian terhadap pendedahan ini," katanya.
Kumpulan The Hague ialah gabungan negara yang ditubuhkan untuk melaksanakan langkah-langkah perundangan, ekonomi dan diplomatik yang diselaraskan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, khususnya berkaitan tindakannya di Palestin dan terhadap rakyat Palestin.
Ia ditubuhkan di Belanda awal tahun ini oleh Bolivia, Colombia, Cuba, Honduras, Malaysia, Namibia, Senegal dan Afrika Selatan.
Israel telah melancarkan serangan genosid ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023, membunuh lebih 65,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan kemusnahan meluas di wilayah itu.
Sekatan yang dikenakan rejim itu telah membawa kepada malapetaka kemanusiaan dan kebuluran.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami