KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya membanteras jenayah berkaitan dadah bernilai RM990 juta (US$210 juta) sejak 2019, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata menyedari kaitan antara pengedaran dadah, rasuah dan lain-lain bentuk jenayah terancang, Malaysia kekal teguh dalam melaksanakan strategi berkesan untuk memerangi ancaman berkenaan melalui langkah penguatkuasaan undang-undang yang ketat.

"Selain itu, agensi penguatkuasaan undang-undang kita telah berjaya membongkar 98 makmal sulit dan menahan 351 individu yang terlibat dalam kegiatan haram itu.

"Kita juga telah mencapai kemajuan ketara sejak lima tahun lepas, tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan," katanya pada Segmen Peringkat Tertinggi Suruhanjaya Mengenai Narkotik Dadah ke-67 Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) di Vienna, Austria pada Khamis.

Teks ucapannya dihantar kepada Bernama.

Saifuddin Nasution berkata dalam mengawal pengedaran dadah dan bahan psikotropik, sebanyak 16,865 kebenaran import dan eksport atau permit telah dikeluarkan sejak 2020 hingga tahun lepas.

"Penemuan makmal analisis mengenai pengesanan bahan baharu berfungsi sebagai asas untuk mengawal selia bahan-bahan berkaitan di bawah undang-undang negara kita," katanya.

Beliau berkata pendekatan proaktif dalam menangani cabaran disebabkan kemunculan ubat baharu dan bahan psikoaktif baharu (NPS), selain memastikan langkah kawalan mantap dapat disediakan bagi mengurangkan perluasan dadah dan bahaya yang mungkin timbul.

Saifuddin Nasution berkata Malaysia berikrar meningkatkan kerjasama antarabangsa dan serantau dalam menangani Masalah Dadah Dunia selaras dengan obligasi perjanjian serta Pelan Strategik Antidadah 2021-2025 Malaysia.

"Malaysia akan terus mengukuhkan perkongsian dengan negara lain dan organisasi antarabangsa untuk menangkis pembuatan, pengeluaran, pengedaran dan pengedaran haram dadah terlarang.

"Kita akan meneruskan usaha mengembangkan lagi kerjasama dua hala terutama dengan negara jiran terdekat, dan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif serantau dan global," katanya.

-- BERNAMA