MALAYSIA
Malaysia terajui kerjasama pendidikan tinggi ASEAN ke arah visi 2045

Mesyuarat itu berlangsung selama tiga hari (17-19 Jun) dan menghimpunkan wakil-wakil tertinggi dari sektor pendidikan negara-negara anggota ASEAN di Langkawi.
LANGKAWI : Malaysia memainkan peranan utama dalam menerajui kerjasama serantau dalam bidang pendidikan, apabila mengetuai Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 #EduRoundtables2025.
Mesyuarat itu berlangsung selama tiga hari (17-19 Jun) dan menghimpunkan wakil-wakil tertinggi dari sektor pendidikan negara-negara anggota ASEAN di sini.
Mesyuarat berkenaan mempertemukan kedua-dua kementerian penting Malaysia dalam bidang pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia yang diketuai oleh Fadhlina Sidek dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang diwakili oleh menterinya sendiri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Kedua-dua kementerian berganding bahu dalam menganjurkan mesyuarat ini sempena kepengerusian Malaysia dalam ASEAN.Mesyuarat itu diadakan selaras dengan pengumuman Deklarasi Kuala Lumpur baru-baru ini oleh para pemimpin ASEAN yang menggariskan hala tuju ASEAN Community Vision 2045.
Dalam konteks ini, pendidikan diiktiraf sebagai salah satu sektor utama yang akan memacu kemajuan rantau ini menjelang tahun 2045.
Di peringkat pendidikan tinggi, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antara universiti-universiti ASEAN, termasuk cadangan untuk menubuhkan sebuah jaringan universiti serantau.
Ini merupakan langkah bersejarah dan antara yang pertama kali dibincangkan secara menyeluruh dalam kalangan menteri-menteri pendidikan tinggi ASEAN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami