PUTRAJAYA: Malaysia akan menerima dua juta vaksin sumbangan Jepun dan Amerika Syarikat pada 1 dan 2 Julai nanti.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Jepun menyumbang satu juta vaksin Astra Zeneca manakala Amerika Syarikat pula menyumbangkan vaksin keluaran Pfizer.

Menurutnya, kerajaan berterima kasih atas sumbangan tersebut dan menunjukkan negara berkenaan percaya dengan usaha negara memerangi COVID-19.

"Sumbangan ini melambangkan keprihatinan kedua-dua kerajaan serta kepercayaan mereka terhadap negara kita dalam memerangi COVID-19 dan menyokong program imunisasi global bagi membendung wabak ini.

"Bekalan vaksin ini akan dapat memperhebatkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan bantu Malaysia capai nilai ambang seperti dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Vaksin akan diedarkan segera ke PPV seluruh negara untuk kegunaan PICK dalam masa terdekat," katanya. 



Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan PICK di Putrajaya pada Rabu yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tambah Khairy, beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega akan mula beroperasi dengan kadar lebih tinggi bermula hari ini dengan pelaksanaan suntikan dos kedua.

"Antara PPV mega terlibat ialah Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), kapasiti akan meningkat kepada 8,000 dos sehari. Setia City Convention Centre akan meningkat kepada 6,000.

"Semua fasiliti terlibat telah dipersiapkan untuk tampung kadar vaksinasi lebih tinggi bagi memastikan kelancaran operasi dan untuk kita elak kesesakan berlaku di PPV mega," ujarnya lagi.