KUALA LUMPUR: Malaysia menerima sebanyak RM1.9 bilion dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disita oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata wang berkenaan didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh DOJ.

"Wang tersebut adalah sebahagian daripada dana berkaitan 1MDB yang telah disita.

"Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – dibawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tengku Zafrul berkata, setakat ini kerajaan sudah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC International Sdn Bhd.

"Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.8 bilion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC).

"Baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk 2021 dan 2022 sahaja," katanya.

Beliau berkata, baki berkenaan tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dan RM336 juta dari Deloitte PLT 1.

"Di samping itu, rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG.

"Setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan tetap perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui Jaminan Kerajaan dan Surat Sokongan semasa hutang ini diterbitkan," memetik kenyataan itu.

Tengku Zafrul berkata, usaha pemulihan aset 1MDB dan SRC oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.

Jelasnya, semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC.