KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menghadapi krisis imbangan pembayaran (BOP) kerana negara sentiasa mencatatkan lebihan akaun semasa secara konsisten, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Marzunisham Omar.

Beliau berkata bank pusat juga menjangkakan negara sekali lagi akan merekodkan lebihan baki akaun semasa tahun ini disumbang oleh perolehan daripada pelancongan dan pulangan lebih tinggi daripada eksport berbanding import.

"Kita mencatatkan lebihan baki akaun semasa sejak 28 tahun lepas," katanya pada taklimat media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2023, Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, dan Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 BNM, di sini, hari ini.

Selain unjuran pemulihan eksport oleh bank pusat, beliau berkata sektor pelancongan merupakan penyumbang pertukaran asing yang besar kepada negara.

"Tahun lepas, 20.1 juta pelancong datang ke Malaysia, dan tahun ini, kementerian (Pelancongan, Seni dan Budaya) menjangkakan kira-kira 27 juta pelancong.

"Dengan kemasukan tanpa visa untuk pelancong China dan ringgit yang bernilai rendah ketika ini, Malaysia terus menjadi tarikan utama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai imbangan pembayaran negara dan sama ada terdapat kemungkinan Malaysia akan berdepan krisis BOP sama seperti yang dialami Sri Lanka.

Menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi dan Moneteri 2023 BNM berkata akaun semasa imbangan pembayaran dijangka mencatatkan lebihan yang lebih tinggi antara 1.8 peratus hingga 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

BNM berkata lebihan itu merupakan peningkatan berbanding 1.2 peratus daripada KDNK pada tahun lepas yang merupakan imbangan akaun semasa paling rendah pernah dicatatkan sejak 1997 (-5.9 peratus).

Menurut laporan itu, peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh lebihan akaun barangan yang lebih tinggi dan defisit akaun perkhidmatan yang lebih rendah.

"Akaun barangan diunjur mencatatkan lebihan lebih tinggi berikutan pemulihan pertumbuhan eksport yang lebih daripada mengimbangi pemulihan pertumbuhan import," kata BNM.

BOP menyediakan maklumat terperinci tentang permintaan dan penawaran mata wang sesebuah negara.

Jika sesebuah negara bergelut dengan masalah BOP yang besar, ia mungkin tidak dapat mengembangkan import dari dunia luar manakala negara yang mengalami lebihan BOP yang ketara berkemungkinan besar dapat mengembangkan importnya.

-- BERNAMA