MALAYSIA
Malaysia tidak perlu memihak dalam persaingan global AI - Saifuddin

Saifuddin (kiri) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama peserta Forum Ekonomi ASEAN-GCC Fortune di Kuala Lumpur. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia tidak perlu memihak dalam persaingan global teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kini didominasi oleh Amerika Syarikat (AS) dan China.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia memilih pendekatan seimbang yang memberi manfaat nyata kepada rakyat.
“Fakta menunjukkan bahawa dalam dunia hari ini, AI diterajui oleh dua kuasa besar iaitu AS dan China. Persaingan teknologi ini mengesahkan bahawa kedua-dua negara berada di hadapan dari segi penyelidikan AI, pelaburan serta pengaruh global.
“Tetapi persoalannya, bagi sebuah negara seperti Malaysia, penyelesaian atau pendirian praktikal kita ialah kita tidak perlu memilih mana-mana pihak," katanya sewaktu berucap dalam sesi panel di Forum Ekonomi ASEAN-GCC Fortune di Kuala Lumpur pada Rabu.Tambah beliau, sebaliknya, negara memilih untuk bekerjasama dengan kedua-dua dan beliau percaya keputusan ini telah memberikan manfaat sebenar.
"Ia membolehkan kita membawa masuk alat AI yang paling relevan, mampu milik dan berkesan ke dalam negara,” katanya.
Tambah Saifuddin, Malaysia hanya memilih yang terbaik mengikut keperluan rakyat dan pendekatan seimbang ini membolehkan negara mempunyai lebih ruang untuk berunding, berinovasi dan melindungi kepentingan nasional.
Beliau turut berkata, pendekatan tersebut juga memberi kelebihan kepada Malaysia dalam membina kepercayaan dengan lebih banyak rakan di peringkat ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan global.
“Dasar pintu terbuka kita bermaksud anak muda kita boleh menjalani latihan di Silicon Valley atau Shenzhen, dan syarikat-syarikat kita boleh belajar daripada pemain AI dari kedua-dua AS dan China.
“Saya percaya ini merupakan manfaat jelas daripada pendirian kita yang memilih untuk menikmati kelebihan dari kedua-dua dunia.
“Kita bukan menumpukan kepada pembangunan teknologi AI itu sendiri, tetapi bagaimana kita boleh memanfaatkan aplikasi AI untuk menyelesaikan masalah rakyat. Itu keutamaan kita buat masa ini,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami