Penemuan yang diperolehi sebuah laman gaya hidup lelaki terhadap ranking berahi negara bukan kajian ilmiah yang boleh diterima pakai sama sekali.

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Firdaus Abdul Gani berkata, ia tidak menceritakan secara jelas tentang tatacara kajian yang telah dijalankan, soal selidik yang dikemukakan atau siapakah responden yang terlibat.

"Kita juga tidak mempunyai maklumat mengenai berapa negara yang terlibat, ini penting kerana mereka telah memaparkan bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara ASEAN yang tersenarai.

"Adakah responden dari negara ASEAN lain turut terlibat dalam kajian mereka? Bilangan responden juga penting untuk diketahui untuk kita membuat kesimpulan bahawa ia mencukupi bagi mewakili populasi penduduk di Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Sebuah laman sesawang menyenaraikan Malaysia di tangga ketujuh dalam senarai negara paling berahi. Kajian berkenaan diterbitkan sebuah portal awal minggu ini.

Laman itu turut menyenaraikan Greece sebagai negara pertama, Brazil (kedua), Rusia (ketiga), China, Poland dan Itali di kedudukan keempat, kelima dan keenam.