Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Malaysia, UNODC perkukuh kerjasama tangani jenayah terancang rentas sempadan

PASIR PUTEH, 3 Sept - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas Penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Saifuddin berkata perbincangan itu turut memfokuskan kepada usaha menangani jenayah terancang berasaskan siber, penyeludupan manusia dan kontraban serta penyalahgunaan teknologi baharu oleh rangkaian penjenayah. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mahu memperkukuh kerjasama dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) melalui inisiatif yang lebih praktikal dan berorientasikan hasil bagi menangani ancaman jenayah terancang rentas sempadan yang semakin kompleks.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya bersama Wakil Serantau UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik pada hari terakhir lawatan kerja di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sempena Kongres Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-15 Mengenai Pencegahan Jenayah dan Keadilan Jenayah.

Beliau berkata dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai landskap jenayah terancang rentas sempadan yang semakin kompleks, khususnya rangkaian jenayah memanfaatkan teknologi digital untuk memperluas kegiatan merentasi sempadan dan bidang kuasa.

“Sebagai sebuah negara yang terletak secara strategik di tengah-tengah ASEAN, Malaysia memberi perhatian serius terhadap perkembangan ini. Pendekatan kami bukan sahaja melalui penguatkuasaan bersepadu tetapi turut melibatkan pencegahan, pemutusan aliran kewangan jenayah serta kerjasama serantau dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman sosialnya pada Ahad.

Saifuddin Nasution berkata perbincangan itu turut memfokuskan kepada usaha menangani jenayah terancang berasaskan siber, penyeludupan manusia dan kontraban serta penyalahgunaan teknologi baharu oleh rangkaian penjenayah.

Beliau berkata Malaysia melihat kepentingan UNODC untuk terus menyokong negara-negara ASEAN melalui pembangunan kapasiti serantau, perkongsian maklumat dan amalan terbaik.

“Ancaman rentas sempadan terus berubah dan berkembang, jaringan kerjasama yang kukuh dengan rakan serantau dan antarabangsa menjadi sebahagian penting daripada usaha kita memastikan keselamatan Malaysia terus terpelihara,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement