MALAYSIA
Malaysia yakin kekal sebagai kuasa pertengahan rantaian bekalan semikonduktor global - Liew

Menurut Liew, melalui NSS, kerajaan memberi tumpuan untuk menarik pelaburan asing yang memiliki teknologi termaju, termasuk pembungkusan canggih. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia yakin dapat mengekalkan kedudukannya sebagai kuasa pertengahan dalam rantaian bekalan semikonduktor global menerusi pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan pada Mei 2024.
Ringkasan AI
- Malaysia yakin kekal sebagai kuasa pertengahan semikonduktor melalui Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), dengan kekuatan dalam pengujian dan pembungkusan serta tarikan pelaburan asing.
- NSS menyasarkan pembangunan syarikat tempatan, termasuk melahirkan 10 syarikat berpendapatan tahunan AS$1 bilion dan 100 syarikat berasaskan semikonduktor dengan pendapatan RM1 bilion.
- Kerajaan optimis walaupun cabaran global wujud, dengan peluang integrasi industri semikonduktor bersama automotif, pertahanan dan perubatan untuk pasaran Asia dan Afrika.
"Melalui NSS, kerajaan memberi tumpuan untuk menarik pelaburan asing yang memiliki teknologi termaju, termasuk pembungkusan canggih.
"Pada masa sama, kita mahu mewujudkan suasana (ekosistem bagi membolehkan) syarikat Malaysia muncul sebagai MNC pada masa depan," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbi Muda di Dewan Negara hari ini.
Liew berkata ini juga bertepatan dengan sasaran kerajaan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat Malaysia dalam bidang reka bentuk dan pembungkusan paling maju yang mempunyai nilai pendapatan tahunan AS$1 bilion serta 100 syarikat tempatan berasaskan semikonduktor dan berpendapatan tinggi dengan nilai pendapatan tahunan mencecah RM1 bilion.
Bagi tempoh awal 2024 hingga suku pertama 2025, NSS mencatat kemajuan seperti menyediakan latihan untuk 4,557 jurutera dan tenaga teknikal; mengenal pasti lebih 23,000 peluang pekerjaan berpotensi; pelaburan bernilai RM52 bilion (pelaburan domestik RM2.1 bilion dan pelaburan asing RM49.9 bilion) selain penubuhan lima syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan.
Selain itu, Liew berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga sedang mengenal pasti syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi dalam setiap segmen rantaian bekalan semikonduktor.
Ini merangkumi pembekalan bahan kimia dan material, pembuatan mesin dan peralatan, fabrikasi wafer, pengujian serta reka bentuk IC bagi memperkukuh ekosistem sedia ada.
Menjawab soalan tambahan mengenai kemungkinan rakyat tempatan kehilangan kerja jika syarikat semikonduktor, termasuk milik AS bertindak menarik pelaburan susulan pelaksanaan tarif baharu oleh Washington, Liew berkata AS bukanlah satu-satunya pasaran eksport bagi produk itu.
Menurutnya, ini memandangkan banyak syarikat semikonduktor terbabit turut membekalkan peralatan berkaitan kepada syarikat di rantau ini selain rantaian bekalan di India, China, Jepun, Korea Selatan serta Asia Tenggara.
"Peluang meningkatkan bidang ini masih ada menerusi strategi NSS. Saya harap kita boleh wujudkan penyepaduan 'horizontal' iaitu sektor semikonduktor ini boleh bergabung dengan industri automotif, industri pertahanan serta peranti perubatan," katanya.
Langkah itu, kata Liew, akan membolehkan syarikat-syarikat tempatan menghasilkan teknologi pertengahan, bukan sahaja untuk AS tetapi bagi negara-negara di Afrika serta Asia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami