Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siap siaga luar biasa demi memastikan pengundi rasa lebih selamat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merangkumi keselamatan sebelum, semasa, selepas serta lalu lintas lancar sepanjang musim pilihanraya.

Jelasnya, situasi itu menterjemahkan maksud demokrasi sebenar selain menyifatkannya persediaan PDRM sendiri sebelum PRU.

"Siap siagaan, saya boleh komited 99.9 peratus sebab kita telah melakukan table talk exercise sepenuhnya dan kita melakukan body movement exercise.

"Kemuncak latihan ini kita akan adakan esok di seluruh negara dan ini adalah bagi memastikan segala persiapan berada di tahap 100 peratus," katanya semasa sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

BACA: PRU14: PDRM bekukan cuti pada Mac, April dan Mei

Jelasnya, lawatan kerja tertumpu kepada kesiapsiagaan PDRM khususnya koordonasi IPK KL dan Putrajaya bagi menentukan semua gerak kerja disusun atur mengikuy piawaian.

Ia ditentukan Bukit Aman di semua IPK dan IPD di semua kawasan PRU dan pengundian.

Dalam pada itu tegas Ahmad Zahid, cuti untuk pegawai serta anggota PDRM sudah dibekukan sejak beberapa minggu lalu sehingga selepas PRU.